Oleh Sakini Mohd Said
CYBERJAYA – Tugas Ummi Kalthum Shuib, 43, memerlukan beliau berdampingan dengan angka sejak sembilan tahun berkhidmat di Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Sebagai Pengarah Kewangan di organisasi berkenaan adalah menjadi kewajipannya setiap hari untuk menganalisis pelaburan dan membuat perancangan kewangan sebaiknya bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan terurus dan sempurna.
Akan tetapi, ada sesuatu yang menarik mengenai wanita kelahiran Kampung Repoh, Perlis, ini. Biarpun sibuk dengan tugas hakikinya itu, ibu kepada lima orang anak ini tidak terkecuali gigih mempromosikan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat iaitu misi utama organisasi beliau berkhidmat dengan menggunakan ‘tisu’ untuk dijadikan satu karya seni eksklusif dan bernilai tinggi.
Dinamakan projek ‘Batik Pelangi’, menariknya inisiatifnya itu juga telah dijadikan cenderahati amat berharga yang diberikan kepada setiap tetamu kenamaan organisasi itu sekali gus mengurangkan kos perbelanjaan daripada sudut itu.
Batik pelangi
“Walaupun peningkatan kesedaran bukanlah tugas saya, tetapi setiap mereka yang bekerja di SWCorp berperanan penting merealisasikan misi perbadanan iaitu menggalakkan orang ramai mengasingkan sisa dan 3R (kurangkan, kitar semula dan guna semula) tidak kiralah apa sahaja jawatan mereka. “Sememangnya, tidak dinafikan bukan mudah untuk meningkatkan kesedaran awam bahawa ‘sampah’ itu mempunyai nilai tinggi. Kena ada sesuatu yang menarik, baharulah dapat menambat perhatian orang awam untuk turut serta dalam kitar semula.


“Disebabkan itulah, SWCorp mempopularkan tisu batik pelangi sebagai hasil seni dengan menggunakan bahan kitar semula sebagai antara langkah mempromosikan amalan lestari dalam kehidupan seharian masyarakat,” katanya.
Menurut Ummi Kalthum, projek tisu batik pelangi yang dimulakan pada tahun 2013 itu adalah sebuah karya seni menggunakan berus lukisan atau tisu yang dicelup dengan pelbagai warna bagi membentuk corak batik pada material berkenaan. Corak batik dihasilkan biasanya abstrak tetapi yang membezakan ia daripada yang lain adalah kaedah lipatannya sama ada bulat, segi tiga dan seumpamanya.
“Tisu batik pelangi ini adalah satu karya seni yang sesuai untuk dipromosikan memandangkan batik juga satu produk Malaysia yang terkenal di seluruh dunia manakala tisu yang berasaskan bahan kitar semula pula berkait rapat dengan SWCorp,” katanya.
Buat masa sekarang, peratusan kitar semula negara berada pada tahap 21 peratus berbanding lima peratus pada 2005 dan kerajaan menyasarkan jumlah itu meningkat kepada 30 peratus menjelang 2020.
Berjaya sampaikan mesej
Menjelaskan lebih lanjut, Ummi Kalthum berkata idea mempromosi tisu batik pelangi bermula selepas beliau melawat satu galeri yang mengajar Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan untuk membuat batik pelangi menggunakan tisu sebagai penjanaan ekonomi mereka di sebuah universiti tempatan.
Tertarik dengan karya seni berkenaan, wanita ini yakin batik pelangi sesuai dijadikan antara satu program SWCorp mendekati masyarakat bagi meningkatkan kesedaran mereka mengenai kepentingan kitar semula dalam setiap program jelajah turun padang. “Kalau sekadar letak poster semasa pameran, orang mungkin kurang berminat. Jadi, saya lihat program batik pelangi yang melibatkan aktiviti praktikal dapat menarik perhatian kanak-kanak dan orang dewasa.
“Justeru, saya ketengahkan perkara ini kepada pihak atasan untuk mendapat kelulusan beberapa pekerja perbadanan belajar seni ini. Seramai 25 wakil daripada setiap bahagian dan negeri telah dihantar untuk menyertai kursus mempelajari hasil seni berkenaan,” katanya.
Ilmu yang dimiliki kemudian diperluaskan apabila Ummi Kalthum diminta oleh pihak atasan supaya mengadakan kelas mengajar batik pelangi kepada pekerja di organisasi ini. Menariknya, boleh dikatakan majoriti besar warga SWCorp sekarang ini berkemahiran menghasilkan karya seni itu.
Ini secara tidak langsung memudahkan aktiviti menghasilkan tisu batik pelangi diadakan sepanjang kempen pengasingan sisa giat dijalankan iaitu bersempena dengan pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) secara berperingkat mulai 1 Sept 2015.
Menerusi pelaksanaan akta itu, pihak kerajaan mewajibkan pengasingan sisa pepejal isi rumah yang berkuatkuasa di Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah.
“Dengan kemahiran dimiliki, bahagian cawangan boleh melaksanakan aktiviti itu tanpa memanggil wakil ibu pejabat semasa kempen giat dijalankan. “Setakat ini, sambutannya sangat menggalakkan di mana ramai orang awam berminat mencubanya semasa kempen sekali gus mesej kepentingan kitar semula dapat disampaikan menerusi karya seni berkenaan,” katanya.
Cenderahati
Selain mesej kesedaran, karya batik pelangi ini juga dijadikan cenderahati untuk tetamu kehormat dalam setiap penganjuran majlis organisasi ini.
Antara tetamu kenamaan yang menerimanya ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa menteri besar. “Ia juga diberikan kepada pelawat luar negara sama ada ketika program kami atau semasa SWCorp melawat ke negara berkenaan seperti Korea, Indonesia, Sweden dan Jepun.
“Menariknya, delegasi Indonesia begitu menyukai karya berkenaan. Ini kerana, mereka tidak menyangka bahawa tisu boleh dijadikan batik dan sangat cantik apabila ia dibingkaikan untuk dijadikan perhiasan dinding,” kata Ummi Kalthum.
Istimewanya, karya tisu batik pelangi yang dijadikan sebagai cenderahati ini adalah berkualiti tinggi di mana beliau mempelbagaikan motif dan teknik penghasilannya bagi memastikan hasil seni ini nampak eksklusif. “Bagi menampakkan ia kelihatan menarik dan bernilai tinggi, kami menggunakan warna untuk membuat kain batik canting selain menggunakan bahan tertentu bagi menambah elemen keunikan pada sesebuah karya,” katanya.
Kurangkan kos
Pelaksanaan inisiatif ini secara tidak langsung berjaya mengurangkan kos operasi SWCorp yang berkaitan pemberian cenderahati kepada tetamu kenamaan sekali gus menyahut seruan kerajaan supaya mengamalkan langkah penjimatan.
Ia juga menjana pendapatan kepada organisasi apabila hasil seni ini dijual kepada orang awam dalam pelbagai lingkungan harga bergantung kepada motif dan kesukaran pembuatannya.
“Sambutan diterima agak menggalakkan di mana ia dijual pada harga serendah RM30 hingga setinggi RM350 untuk sesebuah karya. Biasanya orang ramai mengetahui produk ini semasa pameran SWCorp yang selalu dikemaskini di Facebook ataupun berhubung terus dengan kami di Cyberjaya.
“Dalam masa sama, kami juga mengadakan kerjasama dengan beberapa pihak berkaitan untuk meletakkan karya ini sebagai produk jualan di tempat tumpuan pelancong,” katanya. – Bernama