Oleh Balkish Awang –
KUALA KANGSAR – Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Lenggong, Perak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ini unik bukan sahaja kerana kraf pembuatan batik menggunakan tanah liat tetapi pelatihnya terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU) kategori lemah pembelajaran.
Secara tradisional, pembuatan batik sinonim menggunakan lilin untuk membuat lakaran motif batik, namun kini penggunaan tanah liat atau clay semakin mendapat perhatian serta permintaan apabila didapati bahan itu juga mampu menjadi bahan penghalang warna dalam penghasilan reka corak batik.
Mula beroperasi pada tahun 2019, PPDK Lenggong terletak sekitar tiga jam perjalanan dari Kuala Lumpur (menaiki van) dan ketika penulis tiba di tempat berkenaan, terdapat tiga daripada enam orang pelatih sedang bertugas dibimbing seorang tenaga pengajar.
Melangkah masuk ke perkarangan pusat berkenaan, Nurul Jannah Jamaluddin, 28, Sopiyah Pathil, 32 dan Nur Husna Najwa Merzuki, 25, kelihatan begitu tekun menekan blok bagi menyiapkan rekaan batik pada kain yang dibentang.
Penulis dan seorang lagi wakil media tempatan berkesempatan melihat aktiviti program pembuatan batik yang dijalankan dengan kerjasama Kraftangan Malaysia di bawah Program Media Turun Padang di Negeri Perak. Program anjuran Kraftangan Malaysia selama dua hari pada 2 hingga 3 Mei lalu bertujuan meninjau perkembangan komuniti kraf di Perak khususnya Daerah Lenggong dan Kuala Kangsar.
TEKNIK SESUAI
Menurut Penyelia PPDK Lenggong, Asmaeyah Sihabuddin, pemilihan untuk mengajar batik menerusi tanah liat kepada pelatih istimewa dibuat kerana batik clay adalah teknik yang sesuai berbanding penggunaan lilin yang lebih berbahaya kepada mereka.
“Jika batik lilin, ini bahaya kerana mereka bermain dengan air dan lilin yang panas. Untuk batik clay anak-anak istimewa ini banyak bermain dengan tanah liat selain ia lebih selamat, mudah serta boleh dibuat di tempat sejuk dan tidak perlu berjemur.
“Selain itu kaedah menggunakan tanah liat juga dapat melatih kognitif otak mereka dalam memahirkan diri menyusun corak, mewarna dan menghias kain,” katanya yang mendapat latihan serta bimbingan daripada Program Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) bidang kraf batik yang kemudiannya diaplikasikan kepada pelatih OKU di PPDK Lenggong pada tahun 2022.
Berhubung cabaran, Asmaeyah berkata, sudah tentu dalam mendidik anak-anak istimewa memiliki kekangan tersendiri, antaranya menuntut kesabaran yang tinggi.
PROSES BUATAN
Berkongsi cara penghasilan batik clay, Asmaeyah berkata, bancuhan dibuat terlebih dahulu menggunakan tanah liat, bahan pengikat, bahan penstabil dan air dengan setiap bancuhan tidak boleh terlalu pekat dan tidak terlalu cair.
Selepas proses bancuhan, blok atau stensil bagi corak yang sudah sedia ada dicelup ke dalam bancuhan sebelum dicop ke atas kain. Rekaan corak diperolehi daripada Kraftangan Malaysia dan ada yang dibeli.
“Setelah kain selesai dicorakkan, kain tersebut akan dijemur bagi membolahkan rekaan pada batik itu kering kemudian baharu dicelup di dalam warna dan dibasuh,” katanya menambah, selesai dibasuh kain berkenaan akan dijahit menjadi baju atau dibuat kain pasang bergantung kepada jenis permintaan.
Dalam sehari Asmaeyah berkata, pelatih OKU dapat menghasilkan sehelai kain bersaiz empat meter bergantung kepada emosi mereka dan pihak PPDK turut memberi sedikit imbuhan selain elaun bulanan RM300 yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Hampir dua tahun membabitkan diri dalam teknik batik clay, Asmaeyah berbangga kerana permintaan terhadap batik tersebut semakin memberangsangkan sehingga ada pelancong dari luar negara dari Jerman berkunjung ke PPDK itu untuk melihat sendiri bagaimana penghasilan batik clay dilakukan.
“Masyarakat pun sudah boleh terima batik clay ini. Dalam usaha meluaskan perusahaan batik ini pihak Kraftangan banyak membantu memberi bimbingan dan tunjuk ajar dari mula hingga akhir kerana kami bukan guru dalam bidang batik.
“Selain itu Kraftangan turut menyediakan modal penjana, memberi modal untuk operasi pengeluaran serta membuka peluang menyertai pelbagai festival bagi memperkenalkan lagi batik clay ini,” katanya yang mendapat banyak tempahan sekitar Perak, syarikat, agensi serta menerusi aplikasi dalam atas talian.
MAHU KE PERSADA ANTARABANGSA
Sementara itu, bagi usahawan batik clay, Nur Nabihah Zakaria, 40, dia berhasrat membawa perusahaan batik berkenaan ke persada antarabangsa apabila melihat sambutan kepada bidang tekstil itu sejak mula mengusahakannya dua tahun lepas.
Bekas penuntut Institut Kraf Negara (2009) itu aktif dalam perniagaan batik selepas tamat pengajian dengan membuka bengkel di Kelantan sehinggalah beliau berhijrah ke Perak pada tahun 2011.
“Di Perak, saya tetap aktif membuat batik canting, kit, kain pasang serta kemeja (menggunakan lilin) sehingga suatu hari saya menerima tawaran daripada Kraftangan sebagai Usahawan Inkubator pada 2021.
“Di sini saya belajar membuat teknik batik clay. Berbeza dengan batik lilin, batik clay lebih senang dan boleh hasilkan lebih banyak mencecah 10 helai kain sehari berbanding lilin hanya dua atau tiga helai jadi ia dapat menjimatkan masa,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kraftangan Perak yang terletak berhampiran pejabat Kraftangan Perak Kuala Kangsar.
Pemilik Galeri Batik Nabihah itu berkata, rekaan pada corak batik direka sendiri dan kebanyakannya bermotifkan abstrak serta flora. – Bernama