LONDON– Batu bersurat berusia 3,000 tahun dari Babylonia yang mengancam sumpahan terhadap orang yang memusnahkannya, akan diterbangkan pulang ke tempat asalnya selepas dijarah semasa Perang Iraq.
Ketua Muzium British, Hartwig Fischer, menyerahkan karya yang tidak ternilai itu kepada Duta Iraq, Salih Husain Ali pada acara penyerahan rasmi di sini, semalam selepas pakar mengesahkan asal-usulnya.
Fischer berkata, ia menjadi bahan bersejarah penting dalam warisan kebudayaan Iraq, selain turut memuji pegawai kastam terhadap usaha hebat dan tidak mengenal penat lelah mereka.
Ini kerana mereka mengesan objek itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow pada 2012 dan menghubungi pihak muzium apabila menerima dokumen palsu daripada pembawanya.
Merealisasikan pemindahan
Menteri Kesenian, Warisan dan Pelancongan, Michael Ellis, berkata mereka merampas item ini apabila mereka melihat di pelabuhan British dan beberapa tahun kemudian, selepas melalui banyak urusan perundangan, berjaya merealisasikan perpindahan ini.


“Ia menjadi detik yang sangat penting dan signifikan,” katanya.
Masih belum jelas bagaimana objek itu dibawa keluar dari Iraq tetapi pihaknya percaya ia mungkin dicuri kira-kira 15 tahun lalu ketika Iraq dilanda masalah.
Sementara itu, kurator, Jonathan Taylor, berkata Kudurru ialah batu bersurat yang mencatatkan penganugerahan tan-ah oleh Raja Babylonia, King Nebuchadnezzar I kepada seorang rakyatnya sebagai menghargai khidmatnya yang hebat.
Pada satu sisi, ia menggambarkan dewa Babylonia, Enlil dan Marduk, manakala permukaan lain ialah teks perundangan dalam tulisan pepaku, iaitu tulisan Babylonia. Taylor berkata, objek itu juga mengandungi ‘sumpahan dahsyat’ kepada sesiapa yang cuba menuntut tanah berkenaan dan merosakkan batu bersurat terbabit.
Kurang daripada 200 objek seumpama itu diketahui wujud dan item yang diserahkan semalam sudah rosak dan terhakis, sekali gus menimbulkan masalah untuk mengkaji sejarahnya.
“Pengenalan asasnya agak mudah. Apa yang lebih sukar adalah untuk mengkaji identiti rajanya dan keadaan berkaitan. Kami perlu membaca inskripsi padanya yang agak kabur kerana banyak kerosakan di tengah-tengah teks.
“Ia hasil buku yang bergaya lama. Kami mempunyai beberapa petunjuk,” katanya.
Mereka mendapati raja ketika batu bersurat itu dihasilkan ialah Nebuchadnezzar I, iaitu wira kebangsaan dan legenda pada zamannya.
Batu bersurat itu dianggarkan dipamerkan di kota kuno Nippur yang kini terletak di tengah-tengah Iraq.
“Ia lebih daripada batu bersurat. Ia bukti sejarah luar biasa Republik Iraq,” katanya. – AFP