Saturday, December 28, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Batu mengandungi fosil mikrob ditemui di Marikh

    WASHINGTON, 28 JULAI – Kapal perayau Perseverance NASA mencatatkan penemuan yang mungkin paling menakjubkan setakat ini, iaitu berkemungkinan tanda-tanda kehidupan purba di Planet Marikh.

    Kapal robotik enam roda itu menemui batu berbentuk anak panah yang dinamakan ‘Cheyava Falls’ yang mungkin mengandungi fosil mikrob dari berbilion tahun dahulu, apabila Marikh merupakan planet berair.

    Perseverance menggerudi batu tersebut untuk mengumpul sampel utama pada 21 Julai lalu, ketika ia melintasi Neretva Vallis, sebuah lembah sungai purba.

    Sampel-sampel yang disimpan dengan hati-hati di bawah perut kapal itu akan dibawa pulang ke Bumi untuk dianalisis dengan lebih komprehensif.

    Model ujian skala penuh kapal perayau Perseverance yang berada di Marikh dipaparkan semasa sidang media di Pasadena, California pada 11 April 2023. – AFP

    “Cheyava Falls adalah batu yang paling membingungkan, kompleks dan berpotensi menjadi batu penting yang akan disiasat oleh Perseverance,” kata saintis projek, Ken Farley dari Caltech pada Khamis.

    Tiga petunjuk menarik telah membuat para saintis berasa teruja.

    Terdapat urat kalsium sulfat putih menganjur di sepanjang batu tersebut, menunjukkan bahawa air pernah mengalir melaluinya.

    Di antara urat-urat berkenaan terdapat kawasan tengah berwarna kemerahan yang kaya dengan sebatian organik, seperti yang dikesan oleh alat SHERLOC (Scanning Habitable Environments with Raman and Luminescence for Organics and Chemicals) pada kapal tersebut.

    Akhir sekali, tompok-tompok putih kecil yang dilingkari bintik hitam, menyerupai harimau bintang, mengandungi bahan kimia yang mencadangkan sumber tenaga untuk mikrob purba, menurut imbasan oleh instrumen PIXL (Planetary Instrument for X-ray Lithochemistry).

    “Di Bumi, ciri-ciri dalam batu berkenaan sering dikaitkan dengan rekod fosil mikrob yang hidup di bawah permukaan,” kata David Flannery, ahli astrobiologi dan ahli pasukan sains Perseverance dari Queensland University of Technology di Australia.

    Namun, usaha untuk mengesahkan kehidupan purba di Marikh masih belum berakhir. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda