Oleh Norizan Murshid
TERLETAK di atas tapak tanah seluar dua puluh kaki persegi di kawasan Makam Diraja Brunei kelihatan sebuah batu sebesar empat kaki tinggi, tiga kaki setengah lebar dan enam inci tebal, berdiri kukuh, Batu Tarsilah memainkan peranan penting khususnya dalam pengkajian sejarah Brunei kerana pada batu ini tercatat nama Raja-Raja Brunei yang memerintah dari Sultan Brunei yang pertama, Sultan Muhammad Shah sehingga Sultan Brunei yang ke-19 iaitu Sultan Muhammad Tajuddin.
Menurut sejarah, Batu Tarsilah dibuat atas kehendak Sultan Muhyiddin, Sultan Brunei ke-14 dan juga Sultan Husin Kamaluddin Sultan Brunei ke-16 yang berhasrat untuk menyuratkan salasilah raja-raja yang memerintah Brunei. Hasrat tersebut hanya dapat dilaksanakan pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Tajuddin.
Khatib Haji Abdul Latif, seorang ulama dan sejarawan Brunei di perintahkan untuk mengukir dan memahat salasiah Raja-Raja Brunei pada Batu Tarsilah ini. Batu ini diukir menggunakan batu pasir atau limestone.
Batu ini diukir begitu unik dengan mengetengahkan lambang-lambang kemelayuan yang cukup ketara. Nama-nama diukir dengan menggunakan tulisan huruf Melayu Jawi dan dengan hiasan bunga pada kedua-dua sisi muka depan dan muka belakangnya.
Dua jenis ukiran
Dua jenis ukiran digunakan pada batu ini. Bahagian atas kiri, kanan dan puncaknya diukir lambang bunga kembangkayapu, manakala bingkainya diletak ukiran bunga pucuk paku. Pada baris akhir tulisan ini ditulis tarikh dalam tahun Hijrah. Penyelidik sejarah berpendapat ia adalah tarikh batu ini siap di ukir. Pelbagai tafsiran wujud mengenai tarikh ini.


Menurut Freeman-Grenville, 2 Zulhijjah 1221 Hijrah bersamaan dengan 10 Februari 1807 Masehi, iaitu hari Sabtu. Tetapi tulisan pada batu ini mengatakan hari Arba’a atau hari Rabu. Profesor Naquib Al-Attas pula mentafsirkan 2 Zulhijjah 1221 Hijrah bersamaan dengan 8 Februari 1807 Masihi, iaitu hari Khamis mengikut tahun Masihi. Namun begitu, mengikut kiraan Tahun Hijrah, 8 Februari adalah hari Rabu. Oleh itu, para penyelidik sejarah lebih cenderung untuk menerima tarikh 8 Februari 1807 Masehi adalah hari Rabu sebagaimana tertulis pada batu ini.
Dengan diabadikan nama Raja-Raja Brunei ini secara tidak langsung Sultan Ahmad Tajuddin telah membawa kita untuk menelusuri sejarah masa lalu. Tanpa adanya penulisan sejarah sebegini mungkin kita tidak akan mengetahui secara pasti rakaman peristiwa masa lampau.
Radio Televisyen Brunei menerusi segmen Rampai Pagi TV dengan kerjasama Pusat Sejarah Brunei sedang dalam proses penerbitan MoU RTB-RTM bertajuk Batu Tarsilah yang bakal disiarkan tidak lama lagi. Program diterbitkan oleh Haji Hasnan Haji Abdul Rahman dan skrip oleh Dayang Serimah Haji Muhamad. Sementara penyampai di lokasi ialah Awang Mohd Rimi Haji Ahmad.