SATU batu zamrud gergasi bernilai kira-kira £238 juta yang berjaya ditemui di sebuah kawasan perlombongan di Brazil yang kini disimpan di tempat rahsia dengan tahap keselamatan yang tinggi selepas pemilik batu itu mendedahkan dia hidup dalam penuh ketakutan – diculik, peras ugut dan rompakan bersenjata – gara-gara penemuan itu.
Lelaki yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai FG itu berkata batu itu sangat bernilai tinggi kerana saiznya yang besar dan kualiti kristalnya. FG mendedahkan bahawa ia memerlukan bantuan trak forklift untuk mengangkat batu yang sangat bernilai itu.
Zamrud gergasi seberat 360 kilogram dan berketinggian 1.3 meter itu dikeluarkan dari perut bumi baru-baru ini.
Ia ditemui di kedalaman 200 meter di kawasan perlombongan Carnaiba di Bahia, utara timur Brazil.
Pemilik yang berhati-hati itu berkata baru-baru ini: “Saya tak dapat dedahkan apa-apa tentang tempat penyimpanan batu itu, bagaimana ia disimpan serta berapa harga yang saya bayar (untuk menyimpannya).



“Apa yang saya boleh katakan adalah batu itu dipindahkan secara kerap ke tempat yang selamat diiringi oleh pengawal bersenjata.
“Saya tidak boleh mengambil sebarang risiko ke atas keluarga saya dengan menyimpannya di satu tempat sahaja,” kata FG lagi.
Difahamkan, sudah ada beberapa pembeli yang berminat untuk membeli batu berkenaan termasuk pembeli dari Timur Tengah.
FG berkata lagi: “Batu itu mempunya serpihan zamrud yang merata-rata. Kualitinya sangat bagus dan ia menjadi batu permata yang terbaik pernah saya jumpa dalam masa kira-kira 30 tahun bergiat dalam industri ini.
Dailymail UK melaporkan, pakar meramalkan batu berhias yang mengandungi kira-kira 180,000 karat kristal zamrud itu, boleh mencecah harganya sekitar £238 juta.
FG berkata, batu terbabit dikeluarkan oleh 10 orang dan masing-masing sudah dibayar supaya dia menjadi pemilik tunggal batu terbabit.
Batu gergasi itu ditemui di kawasan lombong yang sama; hanya 100 meter; tempat batu Zamrud Bahia ditemui 16 tahun lepas. – Agensi