Saturday, May 3, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bau busuk jam 4:30 petang

    Oleh Aqilah HMS –

    Kisah ini berlaku setahun yang lepas. Aku bukan jenis yang percaya sangat dengan cerita hantu di pejabat. Aku fikir semua itu hanya cerita basi yang diwarisi dari mulut ke mulut untuk menakutkan budak baru macam aku. Tapi semua berubah petang itu, hari yang aku takkan lupa sampai bila-bila.

    Hari itu hari Jumaat. Semua orang macam biasa mula berkemas awal, sebab nak balik cepat. Tapi aku masih duduk di meja, tekun menyiapkan laporan audit yang perlu dihantar sebelum tengah malam.

    Jam menunjukkan pukul 4:15 petang. Seperti biasa, pejabat mula lengang. Cahaya matahari yang masuk dari tingkap makin malap. Ruang mula suram.

    Tiba-tiba, aku teringat apa yang pernah dikatakan oleh Encik Jamal, pegawai senior yang dah dekat pencen tu. Dia kata, “Kalau kau masih kat pejabat waktu lepas 4:30, dan kau mula bau macam daging busuk… cepat-cepatlah keluar. Jangan tunggu.” Aku cuma senyum masa tu. Aku fikir, ‘mungkin dia nak takutkan aku je.’

    Tapi tepat jam 4:30 petang, bau tu datang. Busuk, hanyir dan menusuk sampai ke tekak.

    Gambar Agensi

    Macam bangkai dah lama tak diurus. Aku pandang sekeliling. Hanya tinggal aku… dan aku nampak Hairi, kawan sekerja aku, masih di hujung koridor, dekat tandas lelaki.

    Dia duduk di bangku kecil sambil tunduk. Aku rasa lega sikit. Sekurang-kurangnya aku tak keseorangan.

    Aku bangun nak ke tandas. Nak tanya Hairi kalau dia pun bau benda yang sama. Tapi masa aku baru nak melangkah, telefon aku bergetar. Satu mesej masuk.

    Hairi: “Aku MC hari ni bro, demam. Tak masuk ofis.”

    Aku terkedu. Jantung aku berdegup kencang. Kalau Hairi MC… siapa yang aku nampak tadi? Aku berpaling semula ke arah koridor yang kosong. Bangku tadi pun tiada.

    Aku mula rasa tak sedap hati. Tiba-tiba, terdengar bunyi… ketang… ketung… seakan bunyi besi diheret di lantai jubin. Bunyi itu datang dari arah tandas.

    Kemudian, kedengaran suara mengilai halus sangat perlahan tapi cukup untuk membuat bulu tengkuk aku meremang.

    Aku capai beg, kunci kereta dan terus melangkah laju ke pintu utama. Tapi bila aku hampir ke pintu, suis lampu pejabat mula berkelip-kelip, satu persatu padam sendiri, dari belakang ke depan. Macam ada sesuatu yang sedang menghampiri.

    Langkah aku makin laju. Aku tekan butang lif dan tak menyala. Aku hentak pintu kecemasan, turun tangga tiga tingkat dengan tergesa-gesa. Nafas aku mula tidak menentu. Tangan menggigil. Jantung rasa nak pecah.

    Sampai di tempat letak kereta, aku cuba bertenang. Aku toleh ke atas… dan di tingkat tiga bangunan pejabat, aku nampak bayangan seseorang berdiri, tinggi dan kurus, tanpa wajah, hanya siluet melawan cahaya suram petang. Tangannya menggenggam sesuatu yang panjang dan berat, seperti rantai besi.

    Sebelum aku sempat berpaling, anjing liar yang biasa berkeliaran di kawasan belakang pejabat tiba-tiba menyalak ke arah bangunan.

    Aku pandang semula ke atas, bayangan itu sudah hilang. Tapi bunyi rantai dan suara mengilai itu masih terngiang-ngiang di telinga aku. Malam itu aku tak boleh tidur. Aku termenung lama sambil merenung siling, berfikir apa sebenarnya yang aku nampak? Dan siapa yang duduk di hujung koridor tadi kalau bukan Hairi?

    Esoknya, aku nekad tanya Encik Jamal. Dia hanya angguk perlahan, dan cakap, “Dulu, ada seorang kerani pejabat kita… dia terperangkap dalam tandas masa kebakaran kecil satu malam. Tak sempat diselamatkan. Mayat dia dijumpai di tepi mangkuk tandas, dengan rantai keselamatan pejabat masih terikat di tangan dia.”

    “Dia memang selalu duduk hujung koridor tu, lepas waktu kerja. Katanya… nak siapkan tugas. Bau daging busuk tu… bau daging dia yang terbakar.”

    Sejak hari tu, aku tak pernah tinggal lewat lagi di pejabat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda