Friday, October 18, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bawa nama baik negara ke temasya di Vietnam

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Kontinjen Majlis Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam (MSSSBD) memulakan saingan dalam Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah ASEAN ke-13 (ASG ke-13) dengan Majlis Menaikkan Bendera dan Majlis Pembukaan Rasmi ASG ke-13, 2024 yang berlangsung di Tien Son Sports Palace, Da Nang, Vietnam pada 1 Jun lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, majlis menaikkan bendera telah diadakan pada sebelah pagi di mana ia telah disaksikan oleh jemputan-jemputan khas dari negara-negara yang menyertai kejohanan berkenaan, chef-de-mission dari setiap negara serta para pegawai, pengurus, jurulatih dan atlet.

    Hadir selaku jemputan khas dan wakil bagi Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam ialah Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Awang Julaihi bin Mohamad @ Mohamat selaku chef-de-mission Kontinjen MS SSBD, Kementerian Pendidikan.

    Majlis dimulakan dengan persembahan tarian kebudayaan negara Vietnam dan seterusnya diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Pengerusi Da Nang City People’s Committee, Tran Chi Cuong selaku Timbalan Ketua Congress Organizing Committee.

    Majlis diteruskan dengan acara menaikkan bendera setiap kontinjen negara yang diiringi dengan lagu kebangsaan negara masing-masing bagi menandakan ketibaan dan penyertaan negara peserta yang mengambil bahagian di kejohanan tersebut.

    Kontinjen MSSSBD semasa menyertai Majlis Pembukaan Rasmi ASG ke-13, 2024 yang berlangsung di Tien Son Sports Palace, Da Nang, Vietnam baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Suasana semasa majlis menaikkan bendera yang telah diadakan pada sebelah pagi, 1 Jun lalu. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    Sebanyak 10 buah negara anggota ASEAN mengambil bahagian dalam edisi kejohanan 2024 iaitu Vietnam selaku tuan rumah, Negara Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura dan Thailand.

    Sementara itu, majlis pembukaan rasmi kejohanan pula telah diadakan pada sebelah malam yang disempurnakan oleh Ahli Party Central Committee, Timbalan Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Tran Hong Ha.

    Turut memberikan ucapan alu-aluan semasa pembukaan rasmi tersebut ialah Tran Chi Cuong dan Presiden Majlis Sukan Sekolah-sekolah Indonesia, Dr Bayu Rahadian selaku Presiden Majlis Sukan Sekolah-sekolah ASEAN (ASSC).

    Majlis perasmian juga diserikan dengan pelbagai persembahan oleh pelajar-pelajar sekolah dari negara tuan rumah.

    ASG ke-13, 2024 berlangsung di Da Nang, Vietnam selama sembilan hari bermula 1 hingga 9 Jun di mana seramai 1,300 orang atlet pelajar menyertai kejohanan yang mempertandingkan sebanyak enam acara sukan iaitu badminton, bola keranjang, olahraga, renang, pencak silat dan vovinam.

    Kontinjen MSSSBD terdiri daripada 56 orang, iaitu 33 orang atlet pelajar dan 23 orang pegawai.

    MS SSBD menyertai lima acara sukan iaitu badminton, bola keranjang, olahraga, renang dan pencak silat dengan penyertaan tahun ini merupakan penyertaan MSSSBD ke-12 sejak kejohanan itu dianjurkan pada 2009.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda