BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Persatuan Karate Shitoryu Brunei Darussalam yang dibimbing oleh Mohd Nabil bin Abdul Malik membawa pulang dua pingat perak dan tiga pingat gangsa dalam Kejohanan Karate Shitoryu Zon Timur Malaysia ke-14 yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah.
Kejohanan ini diadakan setahun sekali dan disertai oleh Persatuan Karate Shitoryu Brunei Darussalam sejak ia diadakan pada kali ke-10.
Pada kejohanan kali ini, persatuan ini telah membawa pulang dua pingat perak yang kedua-duanya dimenangi oleh Siti Amal Nadhirah binti Haji Abdul Latif dalam dua kategori berlainan iaitu Kata Perempuan Senior dan juga Kumite Perempuan Senior, tiga pingat gangsa pula diperoleh melalui Mohammad Saiful Najid Fakhrullah bin Norman dalam Kategori 10-11 tahun Kumite Lelaki, Muhammad Umarali bin Abdullah Shamsol dalam Kategori Kumite Lelaki 50 kilogram Senior dan juga melalui Kumite Campuran Berpasukan.
Keseluruhan penyertaan atlet dalam kejohanan tersebut adalah seramai 598 atlet dan Kelab Karate Dahai diumumkan sebagai juara keseluruhan.
