Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Negara Brunei Darussalam setakat ini, tidak mengesan sebarang kes jangkitan pernafasan akut yang teruk di negara ini yang berkaitan dengan jangkitan koronavirus baharu, 2019-nCoV.
Dalam masa yang sama, bagi meningkatkan lagi kewaspadaan dan langkah berjaga-jaga di negara ini, Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah agar penuntut yang dibawa pulang dari China dan kini berada di sini, untuk menjalani pengasingan sendiri (self isolation) selama 14 hari.
Manakala itu, pekerja-pekerja Hengyi, seramai 39 orang yang berada di Pulau Mura Besar yang baru balik dari China juga telah menjalani pengasingan sendiri selama 14 hari.
Turut hadir ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyatakan lagi bahawa kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga akan melaksanakan beberapa langkah tambahan termasuk tidak membenarkan mana-mana pelawat dari Wilayah Hubei, China atau sesiapa sahaja yang memegang pasport Republik Rakyat China yang dikeluarkan di Hubei telah pergi ke Wilayah Hubei dalam masa 14 hari sebelum tiba ke Negara Brunei Darussalam, tidak akan dibenarkan memasuki Negara Brunei Darussalam.
Beliau menerangkan lagi bahawa rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di China tanpa mengira wilayah, boleh dibenarkan untuk masuk kembali ke Negara Brunei Darussalam di mana mereka akan dikehendaki untuk menjalani pengasingan sendiri selama 14 hari.
Dalam pada itu, mana-mana rakyat atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang sakit dan sedang berada di China adalah dinasihatkan untuk menangguhkan kepulangan mereka ke negara ini dan mendapatkan bantuan pihak Kedutaan Negara Brunei Darussalam di China untuk nasihat selanjutnya. Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan nasihat perjalanan bagi penduduk Negara Brunei Darussalam iaitu melarang sebarang perjalanan ke Wilayah Hubei dan untuk menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke China.
“Sebarang perjalanan ke negara China bagi urusan kerajaan juga hendaklah ditangguhkan. Oleh itu, pegawai-pegawai kerajaan adalah juga dinasihatkan untuk tidak melancong ke negara China, buat masa ini,” jelasnya lagi.
Beliau juga menyatakan bahawa mana-mana kementerian atau jabatan atau syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (Government linked companies) juga perlu menangguhkan jemputan atau undangan untuk rakyat China datang ke negara ini buat sementara waktu.
“Kerjasama syarikat-syarikat penerbangan akan diperoleh untuk melaksanakan pemeriksaan pasport semasa pendaftaran masuk bagi penerbangan-penerbangan ke Negara Brunei Darussalam dan sesiapa didapati telah berada di Wilayah Hubei dalam masa 14 hari sebelumnya, tidak akan dibenarkan untuk menaiki pesawat,” tambah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham, “Kesemua langkah-langkah tambahan di atas adalah bersifat sementara sahaja dan akan diteliti dari semasa ke semasa.”