Oleh Arif Firdaus –
Azman, Farid, dan Rafiq baru sahaja beberapa bulan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah asrama kolej di bandar.
Asrama itu menempatkan pelajar lelaki dan perempuan dalam dua blok berasingan. Pada hari biasa, kawasan itu meriah dengan suara pelajar yang keluar masuk, namun apabila tiba musim cuti semester, suasana berubah menjadi sunyi dan suram.
Mereka bertiga tidak pernah terlalu memikirkan kisah seram yang kononnya menghantui asrama itu. Namun, selepas beberapa minggu menjaga bangunan kosong itu, mereka mula mengalami perkara-perkara ganjil.
Malam pertama gangguan berlaku ketika Farid sedang meronda di blok lelaki. Ketika dia melalui lorong menuju ke bilik stor, dia melihat seseorang berdiri di hujung koridor, bayangnya samar dalam cahaya malap.
“Hoi! Siapa tu?” Farid bersuara, menyangka ada pelajar yang tertinggal.

Bayang itu tidak menjawab, hanya berdiri kaku.
Farid menggenggam lampu suluhnya lebih erat, melangkah ke depan. Namun, sebelum dia sempat menghampiri, bayang itu meluncur laju ke dalam bilik kosong di hujung lorong.
Dengan berdebar, dia menyorot lampu ke dalam bilik itu. Kosong.
Kejadian itu hanya permulaan.
Azman pula pernah melihat kelibat seorang wanita berambut panjang berjalan perlahan di tangga blok perempuan, tetapi apabila dia naik ke atas untuk memeriksa, tiada sesiapa di sana. “Pengliatan ku kali saja,” katanya kepada dirinya sendiri, cuba meyakinkan hati.
Namun, yang paling menakutkan berlaku kepada Rafiq.
Satu malam, ketika duduk di pondok pengawal, dia melihat rakaman CCTV yang memaparkan kawasan dewan makan. Seorang pelajar perempuan berdiri membelakanginya dalam rakaman, rambutnya panjang mencecah pinggang.
Rafiq berkerut dahi. “Eh, bukan semua pelajar balik sudah kah?”
Dia mengambil walkie-talkie dan memanggil Azman serta Farid.
“Bro, kamu ada di blok perempuan kah? Aku nampak ada perempuan arah dewan makan ni,” katanya sambil menunjuk ke arah skrin.
Azman dan Farid segera pergi ke dewan makan untuk memeriksa. Tetapi apabila mereka sampai, tempat itu kosong.
“Salah lihat kali kau ani,” kata Azman, cuba berlagak tenang.
Tapi Rafiq menggeleng. “Awu, nampak kali ku tadi aa ada bini-bini.”
Dia kembali memandang skrin CCTV. Pelajar perempuan itu sudah tiada. Tetapi kali ini, bayang hitam berdiri di belakang kerusi, seolah-olah sedang merenung mereka.
Sejak itu, mereka bertiga sering diganggu. Bayang-bayang muncul di koridor, di tangga, di dalam bilik yang kosong. Selalu hanya untuk seketika, tetapi kerap.
Namun, gangguan itu tidak pernah menyentuh atau mencederakan mereka, ia hanya menampakkan diri, seolah-olah mahu memberitahu bahawa mereka tidak pernah bersendirian di asrama itu.