Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bayangan kesepian

    (Siri 1)

    Oleh Rady HF –

    Suasana malam itu hening. Hanya bunyi cengkerik yang sesekali mengisi suasana hening di dalam bilik Aina. Dia duduk di tepi tingkap, memandang ke luar. Hatinya penuh dengan kerisauan. “Kenapa semuanya jadi begini?” bisiknya dalam hati.

    Sejak kebelakangan ini, hidup Aina terasa semakin berat. Ibu dan ayahnya sering bergaduh.

    Setiap hari, mereka menjerit, menghina, saling menyalahkan antara satu sama lain.

    Rumah yang dulunya penuh dengan gelak tawa kini hanya dipenuhi dengan kebisuan dan ketegangan.

    Aina mula merasa seperti bayang-bayang, tak terlihat dan tak dihiraukan.

    Rumah yang dulunya penuh dengan gelak tawa kini hanya dipenuhi dengan kebisuan dan ketegangan. – Freepik
    Aina penat menunggu kasih sayang yang tidak pernah hadir. – Freepik

    “Aina, tolong ambilkan kain di ampaian,” suara ibunya daripada ruang tamu memecah lamunan.

    Aina menarik nafas panjang, “Ya, ibu.” Dia segera bangun, melangkah perlahan-lahan ke luar. Namun, hatinya berasa kosong.

    Setiap kali dia cuba membantu, tiada satu pun kata pujian yang keluar dari mulut ibunya. Sebaliknya, dia sering dimarahi atas perkara kecil.

    “Kenapa lambat sangat?” suara ibunya tegas.

    Aina menyerahkan kain tersebut tanpa berkata apa-apa. Dia sudah penat. Penat menunggu kasih sayang yang tidak pernah hadir, penat menjadi invisible dalam keluarganya sendiri.

    Sebaik sahaja dia kembali ke bilik, pintu ditutup rapat. Aina membenamkan wajah di bantal, air matanya mula membasahi pipi.

    “Apa salah ku? Kenapa semuanya salah di mata mereka?” bisiknya dalam hati.

    Hari-hari berlalu, namun keadaan tidak berubah. Suatu malam, ketika Aina sedang mengulang kaji pelajaran, dia terdengar perbualan ibu dan ayahnya di ruang tamu.

    “Kita tak sepatutnya ada anak,” suara ayahnya jelas kedengaran.

    Aina tersentak. Tangannya menggigil. Dia terdiam, cuba menghadamkan kata-kata yang baru didengarinya.

    Kata-kata itu seperti pedang yang menusuk hatinya. Tidak disangka, dia mendengar ibunya bersetuju.

    “Ya, aku pun rasa begitu. Kita dah cukup terbeban. Aina tu… Dia cuma buat semuanya lebih sukar.”

    “Aku?” Aina tergamam. Dadanya berombak kuat. Nafasnya sesak mendengar mereka berbicara seolah-olah dia tidak pernah menjadi sebahagian daripada hidup mereka.

    Aina tidak dapat menahan perasaan lagi. Dia bangun, membuka pintu bilik dan berjalan keluar.

    Melangkah ke ruang tamu dengan mata yang membengkak akibat menangis.

    “Aina…” ibunya terkejut melihatnya.

    “Apa salah saya?” Suara Aina tersekat-sekat, namun dia berusaha untuk mengawal diri.

    “Kenapa saya rasa macam saya tidak pernah dihargai? Kenapa ibu dan ayah buat macam saya tak wujud?”

    Ibunya tergamam. Wajah ayahnya pula tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah.

    “Aina, kami tak bermaksud…” kata ibunya, namun suara itu kedengaran kosong.

    Aina memotong, “Tak bermaksud? Saya dengar semuanya. Ibu dan ayah menyesal ada saya. Saya beban, kan?”

    Ayahnya mula bangkit dari sofa, wajahnya jelas menunjukkan rasa tidak senang. “Aina, cukup! Jangan buat drama. Kami hanya bercakap…”

    “Cakap yang apa? Bahawa saya tak patut wujud? Bahawa saya adalah masalah dalam hidup ibu dan ayah?” suara Aina semakin tinggi.

    Ibunya mula menundukkan kepala, seolah-olah tidak mahu berdepan dengan kenyataan.

    “Dah lama saya tahan perasaan ni. Saya cuba menjadi anak yang baik, tapi apa yang saya dapat? Saya penat jadi beban. Saya penat dengan semua ini!” Aina menjerit, air matanya mengalir tanpa henti.

    Namun, tiada reaksi dari kedua-duanya. Tiada tangan yang cuba menenangkan, tiada kata-kata maaf.

    Hanya keheningan yang memecah ruang antara mereka.

    Dengan hati yang hancur, Aina berlari ke luar rumah. Angin malam menyapa wajahnya, namun tidak cukup sejuk untuk memadamkan api kemarahan dan kekecewaannya.

    Dia terus berlari, tanpa arah tujuan, tanpa tahu ke mana kakinya akan membawanya.

    Yang pasti, dia tidak lagi ingin pulang ke tempat yang membuatnya merasa seperti orang asing.

    Aina tiba di sebuah taman yang sepi, hanya diterangi lampu jalan yang malap. Dia terduduk di bangku, menarik nafas dalam-dalam. Dia merasa seperti seluruh dunianya hancur.

    “Apa gunanya hidup kalau orang yang kita sayang tak pernah sayang kita balik?” bisik hati Aina.

    Tiba-tiba, dia terdengar bunyi tapak kaki. Dia mendongak dan terlihat seorang lelaki tua sedang berjalan ke arahnya.

    Lelaki itu tersenyum, namun senyuman itu tidak membuatkan Aina rasa lega. Sebaliknya, dia rasa seram sejuk.

    “Kenapa seorang diri di sini, nak?” Lelaki tua itu mendekati. Matanya tajam, seolah-olah mengamati setiap inci tubuh Aina.

    Aina segera bangun. “Saya… saya nak balik,” katanya tergagap, berusaha melangkah pergi.

    Namun, lelaki itu menghalang. “Jangan terburu-buru. Dunia ini penuh dengan orang yang tak pedulikan kita. Kenapa tak luangkan masa sekejap dengan orang yang sudi mendengar?”

    Aina mula panik. Lelaki itu semakin menghampiri.

    “Tolong, biarkan saya pergi,” suara Aina bergetar.

    Lelaki tua itu mengukir senyuman yang lebih menakutkan. “Tak ada siapa pun yang akan peduli kalau kau hilang malam ini.”

    Aina merasakan darahnya berderau. Tanpa berfikir panjang, dia menendang kaki lelaki itu dan berlari sepantas mungkin.

    Dia tidak menoleh ke belakang, tidak peduli apa yang berlaku selepas itu. Yang penting, dia harus lari.

    Sampai di rumah, Aina mengunci pintu dengan cepat. Nafasnya masih belum teratur.

    Ketika dia terduduk di tepi pintu, menangis tersedu-sedu, ibu dan ayahnya muncul. Kali ini, riak wajah mereka jelas menunjukkan rasa bimbang.

    “Aina, apa yang berlaku?” Ibunya bertanya.

    Namun, Aina tidak menjawab. Baginya, biarlah malam itu menjadi malam di mana dia sedar bahawa tiada siapa yang benar-benar peduli, walaupun mereka kelihatan seperti ambil berat.

    Hatinya sudah terlalu sakit untuk menerima kasih sayang yang tidak pernah wujud.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda