Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bayangan kesepian

    (Siri 3)

    Oleh Rady HF – 

    Malam berganti siang, namun bagi Aina, dunia di sekelilingnya tetap kelam. Setiap pagi, dia bangun dengan rasa kosong, seolah-olah hidup ini tidak bermakna lagi. Walaupun rumah sudah kembali tenang selepas malam itu, Aina tahu ketenangan itu hanyalah sementara. Hatinya masih terluka dan luka itu semakin dalam setiap kali dia memikirkan kata-kata ayah dan ibunya.

    “Aina, turun sarapan,” panggil ibunya dari dapur.

    Aina hanya memandang ke arah pintu bilik, tidak ada niat untuk bergerak. Dia tidak sanggup berhadapan dengan mereka lagi. Makanan yang terhidang di meja tidak lagi mengisi kekosongan di hatinya. Dia lebih suka menyendiri di bilik, dengan buku-buku yang sudah lama tidak disentuh dan telefon yang terus berdiam diri. Tiada siapa lagi yang dia mahu hubungi dan tiada siapa pun yang akan memahami perasaannya.

    “Aina, kamu dengar tak?” suara ibunya kedengaran lagi, kali ini lebih tegas.

    Aina mengeluh perlahan, akhirnya bangun dan berjalan malas ke ruang makan. Ibunya sedang menghidangkan nasi lemak di meja, manakala ayahnya duduk sambil membaca surat khabar. Suasana yang sepatutnya kelihatan biasa kini terasa sangat janggal bagi Aina. Dia duduk tanpa bersuara, tangannya mencapai pinggan, tetapi tidak ada selera untuk makan.

    Gambar Freepik

    “Aina, makanlah sikit. Kamu tak makan malam tadi,” kata ibunya, sambil memerhatikan Aina dengan pandangan risau.

    Aina hanya mengangguk, mengambil sedikit nasi lemak dan memakannya tanpa rasa.

    Setiap suapan bagaikan tidak bermakna. Perasaan beban yang ditanggungnya semakin berat, seolah-olah memakan jiwanya dari dalam.

    “Aina, ayah tahu kita ada salah cakap sebelum ini, tapi kami benar-benar sayangkan kamu. Kami cuma mahu yang terbaik untuk kamu,” tiba-tiba ayahnya bersuara, meletakkan surat khabar dan memandang Aina.

    Aina berhenti makan, tidak memandang wajah ayahnya. Perasaannya kembali berkecamuk.

    Setiap kali mereka menyebut tentang kasih sayang, hati Aina memberontak. “Kasih sayang apa yang mereka maksudkan?” fikirnya. Semua itu hanyalah kata-kata kosong baginya. Bukti kasih sayang yang pernah diharapkannya kini tidak lagi wujud.

    “Aina, kamu tak boleh terus macam ni,” tambah ibunya. “Kami tahu kami buat silap, tapi tolong, jangan hukum diri sendiri.”

    Hukum diri sendiri? Aina tertawa kecil di dalam hati. Dia yang merasa dihukum setiap hari, seolah-olah kewujudannya hanya membawa beban kepada mereka. Mereka mungkin menganggap kata-kata itu sebagai kesilapan kecil, tetapi bagi Aina, luka itu tak pernah sembuh.

    “Saya tak hukum diri saya, ibu. Saya cuma penat,” akhirnya Aina bersuara, namun nadanya penuh keletihan.

    “Apa maksud kamu penat?” tanya ayahnya, kelihatan resah dengan jawapan Aina.

    Aina memandang mereka berdua, kali ini dengan pandangan yang lebih dalam. Air mata yang sudah lama ditahannya hampir mengalir, namun dia cuba menahannya sekuat mungkin. “Penat dengan semuanya. Penat dengan apa yang ibu dan ayah cakap. Saya penat rasa macam saya tak dikehendaki dalam keluarga ni.”

    Ibunya meletakkan sudu dan garpu, kelihatan seperti baru tersedar sesuatu yang serius.

    “Aina, kami tak pernah tak inginkan kamu. Kami cuma kami tak sedar kata-kata kami boleh melukai kamu.”

    “Betul. Kami cuma tertekan dengan masalah kami sendiri. Kamu masih anak kami dan kami tak pernah berhenti sayangkan kamu,” tambah ayahnya, suaranya semakin tenang, tetapi wajahnya jelas menunjukkan kesedihan.

    Aina terdiam, cuba menghadamkan apa yang diperkatakan. Namun, jauh di sudut hati, dia tidak mampu lagi mempercayai kata-kata mereka. Terlalu banyak kekecewaan yang dia lalui, terlalu banyak rasa terpinggir yang menyesakkan dadanya. Kepercayaan yang pernah dia berikan kepada keluarganya telah hancur dan sukar baginya untuk memulihkan semula kepercayaan itu.

    “Saya perlukan masa,” kata Aina perlahan. Dia bangun dari meja dan terus melangkah ke biliknya, meninggalkan ibu dan ayahnya yang terpaku tanpa jawapan.

    Di dalam bilik, Aina kembali duduk di tepi katil. Fikirannya masih tidak tenteram. Kata-kata mereka terdengar jujur, tetapi Aina sudah terlalu terluka untuk menerimanya bulat-bulat.

    Dia tahu mereka cuba memulihkan hubungan yang rosak, namun dia tidak pasti sama ada hatinya mampu bertahan lebih lama.

    Telefon bimbitnya berbunyi. Nama Alia terpapar di skrin.

    “Alia,” Aina berbisik perlahan sebelum menjawab panggilan.

    “Aina, kau okey tak? Dah beberapa hari kau tak jawab mesej aku. Aku risau,” kata Alia, suaranya kedengaran cemas.

    Aina terdiam seketika, tidak tahu bagaimana mahu menjawab. “Aku okey, Alia. Cuma banyak benda dalam kepala aku sekarang.”

    “Kau nak keluar tak? Kita boleh jumpa, mungkin kau rasa lebih baik lepas kita berbual?” cadang Alia.

    Aina memikirkan seketika. Mungkin berbual dengan Alia boleh membantu, tetapi hatinya masih berat. Dia tidak mahu membebankan sahabatnya dengan masalah yang dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu diselesaikan. Namun, di satu sudut lain, dia rasa seperti terdesak untuk meluahkan semuanya kepada seseorang.

    “Okey. Aku keluar kejap lagi,” balas Aina.

    “Aku tunggu kau di kafe biasa, ya?”

    “Baik,” Aina menamatkan panggilan.

    Dia menarik nafas dalam-dalam. Ini kali pertama dia akan keluar selepas beberapa hari berkurung dalam bilik. Hatinya masih risau, tetapi dia tahu Alia mungkin satu-satunya orang yang mampu membuatkan dia rasa sedikit lega.

    Beberapa jam kemudian, Aina melangkah masuk ke dalam kafe yang sudah biasa dikunjunginya bersama Alia. Di sudut kafe, Alia sudah menunggunya dengan senyuman. Aina berjalan perlahan, duduk di hadapan sahabatnya itu.

    “Kau nampak lain, Aina,” kata Alia, menatapnya dengan penuh keprihatinan.

    Aina hanya mengangguk. “Aku rasa… hidup aku semakin sukar. Aku tak tahu macam mana nak atasinya, Alia.”

    Alia memegang tangan Aina. “Aku tahu kau kuat, Aina. Jangan pendam seorang diri. Kalau kau rasa semuanya terlalu berat, kita boleh cari jalan penyelesaian bersama.”

    “Aku cuma rasa macam aku tak dihargai, Alia. Aku rasa macam tak ada tempat untuk aku dalam keluarga sendiri. Aku penat cuba jadi anak yang baik, tapi tak pernah dihargai,” Aina meluahkan segala yang terbuku di hatinya.

    Alia mengangguk perlahan, mendengar dengan penuh perhatian. “Kadang-kadang, kita tak boleh kawal apa yang orang lain fikir atau rasa. Tapi Aina, kau kena ingat, kau ada hak untuk rasa dihargai. Kalau keluarga kau tak faham sekarang, beri mereka masa. Dan kalau kau perlukan masa untuk sendiri, tak salah untuk ambil masa tu.”

    Aina menarik nafas panjang. Kata-kata Alia terasa sedikit menenangkan. Mungkin benar, dia perlukan masa untuk memahami dirinya sendiri sebelum boleh memaafkan orang lain.

    Mungkin juga keluarganya perlukan masa untuk benar-benar memahami kesakitan yang dilaluinya.

    “Tapi Alia, aku tak pasti sama ada aku boleh memaafkan mereka,” kata Aina, suaranya penuh keraguan.

    Alia tersenyum. “Maaf tu bukan perkara mudah. Ia ambil masa. Kau tak perlu tergesa-gesa. Yang penting sekarang, kau jaga diri kau dulu.”

    Aina memandang sahabatnya dengan rasa terharu. Walaupun keluarganya tidak mampu memahami perasaannya, Alia sentiasa ada di sisinya, memberikan sokongan tanpa syarat. Walaupun luka di hatinya masih dalam, Aina tahu ada segelumit harapan untuknya.

    Mungkin, dengan masa dan sokongan yang betul, dia boleh mencari jalan untuk sembuh.

    Malam itu, ketika Aina pulang ke rumah, dia kembali duduk di tepi tingkap, merenung ke luar. Angin malam yang sejuk menyapa wajahnya dan buat pertama kali dalam tempoh yang lama, dia merasa sedikit tenang. Mungkin perjalanan untuk sembuh masih panjang, tetapi sekurang-kurangnya, dia tahu dia tidak bersendirian.

    Esok mungkin tidak menjanjikan apa-apa perubahan besar, tetapi Aina sedar, dia masih mempunyai kekuatan untuk menghadapi hari-hari mendatang.

    Satu langkah kecil ke arah penyembuhan sudah cukup dan dengan itu, dia mula merasakan cahaya yang sedikit demi sedikit menembusi kegelapan hidupnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda