Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Dua wanita dan seorang lelaki dikenakan denda $2,000 atau berdepan hukuman satu bulan penjara oleh Mahkamah Majistret atas pertuduhan gagal mematuhi arahan pegawai kastam bertugas untuk memberhentikan kenderaan mereka.
Hukuman denda dijatuhkan Majistret Pengiran Hazirah binti Pengiran Mohd Yusof terhadap Abdul Ma’ad bin Yunos, 21, Norhanani binti Hussin, 31, dan Siti Joriana binti Johari, 29, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 14 November 2018 sekitar jam 6 petang di Pos Kawalan Kastam, Kuala Lurah, dan didakwa di bawah Seksyen 143(b) Perintah Kastam 2006.
Sementara itu, Rosy Muqxniyrah binti A.Ramlee, 25, pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama. Dia dilepaskan dengan ikat jamin dan kesnya akan disebut lagi pada 12 Mac 2019 untuk menetapkan tarikh perbicaraan.