Sunday, March 23, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bayaran pencen melalui bank bermula bulan ini

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Pilihan pembayaran pencen umur tua melalui bank yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kini dilaratkan kepada pembayaran Pencen Orang Buta, Pencen Hilang Upaya, Elaun Bercelaru Mental, Elaun Kusta, Elaun Kurang Upaya dan Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB).

    Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin menekankan bahawa pembayaran melalui bank berkenaan adalah sebagai pilihan tambahan kepada semua penerima selain daripada kaedah pembayaran yang masih dilaksanakan pada masa ini melalui penghulu dan ketua kampung.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan memaklumkan perkara tersebut semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Beliau menjelaskan, pembayaran melalui bank yang dirancang untuk mula dilaksanakan pada April 2020 sepertimana siaran akhbar Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bertarikh 12 Mac lalu, akan diawalkan dan memulakan pelaksanaannya pada bulan ini dengan mengambil kira keadaan masa ini.

    Bagi para penerima yang memilih pembayaran melalui akaun bank, beliau menjelaskan, mereka hendaklah mengisi borang permohonan secara fizikal atau online dengan memuat turun borang permohonan melalui laman sesawang KKBS, www.kkbs.gov.bn atau Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) (www.japem.gov.bn).

    Borang tersebut hendaklah dihantar terus melalui e-mel atau ke pejabat JAPEM di KKBS.Beliau menyatakan bahawa pilihan untuk menerima pembayaran melalui bank bagi pembayaran Mac telah dibukakan sejak 16 Mac lalu dan untuk membolehkan pembayaran dimulakan pada bulan ini, borang tersebut hendaklah dihantar semula pada atau sebelum 19 Mac.

    Sebarang permohonan yang diterima selepas tarikh berkenaan akan mula menerima pembayaran melalui bank pada April dan selanjutnya.

    “Alhamdulillah, dikongsikan bahawa setakat ini, pihak kementerian telah menerima sebanyak 1,602 permohonan yang akan menerima pembayaran melalui bank pada bulan ini. “Walau bagaimanapun, jumlah ini masih rendah dan amat digalakkan untuk menggunakan bank.

    Jumlah ini amatlah sedikit berbanding jumlah penerima secara keseluruhannya,” kongsi Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan.

    Selain itu, bagi penerima pembayaran melalui penghulu dan ketua kampung, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan memaklumkan bahawa hasil perbincangan bersama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan para penghulu dan ketua-ketua kampung yang telah diadakan pada 16 Mac lalu, pembayaran pencen pada 28 Mac yang secara lazimnya di kediaman penghulu dan ketua kampung, akan diatur secara berperingkat-peringkat (staggered timing) yang mana akan dirancang oleh penghulu dan ketua kampung.

    Beliau menambah, khemah-khemah juga akan disediakan untuk memastikan penjarakkan sosial.

    Pada masa yang sama, bagi penerima di kawasan-kawasan perkampungan yang mempunyai jumlah penerima yang ramai, rancangan telah dibuat bagi pembayaran dilaksanakan di dewan-dewan kemasyarakatan atau tempat-tempat berkapasiti besar yang bersesuaian, dan perkara tersebut akan dimaklumkan oleh para penghulu dan ketua kampung.

    Khusus bagi para penerima persendirian di Daerah Belait, pembayaran yang secara lazimnya dilaksanakan di cawangan JAPEM Daerah Belait akan dipindahkan ke Kompleks Sukan Mumong, menurutnya lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda