Oleh Massita Ahmad
SINGAPURA – Era Internet memungkinkan banyak perkara dilakukan dengan mudah termasuk mencari cinta dan teman hidup.
Pelbagai laman sesawang mencari jodoh atau teman hidup berjaya mempertemukan lelaki dan wanita untuk berkenalan dan ada yang berakhir dengan ikatan perkahwinan.
Bagaimanapun, laman sesawang mengatur janji temu iaitu thesugarbook.com yang berpangkalan di Malaysia menjanjikan kelainan.
Laman sesawang yang diasaskan oleh Darren Chan ini mempromosikan “sugar relationship” yakni wang dan bantuan dibayar untuk mendapatkan cinta dan teman.
Dengan kata lain, seorang lelaki atau wanita yang kaya boleh menjadi ‘sugar daddy’ atau ‘sugar mommy’ dengan menyediakan wang serta bantuan kepada lelaki atau perempuan muda ‘sugar babies’ sebagai pertukaran untuk cinta dan berteman.


Meskipun hubungan seperti ini dicemuh di masa lepas, berdasarkan bilangan yang dicatat di laman sesawang, jelas semakin ramai yang mula menerima hakikat perlu membayar wang untuk mendapatkan cinta dan teman.
Di Singapura sahaja, seramai 20,000 orang dilaporkan mendaftar di laman sesawang ini sejak memulakan operasi pada Disember 2016, kumpulan kedua terbesar selepas Malaysia.
Bagaimanapun, laman mencari teman ini juga mencetuskan kebimbangan di Republik ini dan isu berkenaan turut dibangkitkan di Parlimen pada 5 Februari lepas.
Ahli Parlimen Seah Kian Peng dan Tin Pei Ling membangkitkan soalan, antaranya pendirian kerajaan terhadap laman sesawang mencari teman yang mensasarkan wanita muda.
“Polis Singapura akan memantau thesugarbook.com, juga individu yang menggunakan perkhidmatan ini, ” Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Desmond Lee yang menjawab soalan itu.
Sebagai contoh, kata Lee, sekiranya terdapat sebarang permintaan untuk perkhidmatan seks yang berbayar, polis akan melaksanakan penguatkuasaan di bawah Piagam Wanita, termasuk meliputi laman sesawang itu dan pemiliknya.
“Meskipun secara kolektif kami membantah kewujudan laman sesawang seperti itu, cara penyelesaian terbaik ialah meningkatkan kesedaran di kalangan golongan muda akan bahayanya supaya mereka boleh membuat pertimbangan yang wajar apabila melayari laman berkenaan.
“Pelajar sekolah di bawah Kementerian Pendidikan diajar untuk berwaspada antaranya untuk keselamatan peribadi dan berfikir dengan bijak apabila melayari laman sesawang yang ada kaitan dengan soal mencari teman hidup, sama ada dalam atau luar talian, ” kata Lee.


Sebagai tambahan, Lee berkata sewaktu kelas ‘Cyber Wellness’, mereka belajar tentang keselamatan serta penggunaan teknologi secara bertanggungjawab. Kelas itu juga menyentuh topik seperti bahaya orang yang dikenali di siber.
“Kami juga akan membantu meningkatkan kesedaran bahaya seumpama itu di peringkat universiti dan politeknik. Pada masa yang sama, ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk membimbing anak mereka serta membantu anak-anak itu agar menggunakan Internet secara bijak dan selamat.
“Dalam kita menyedari laman sesawang berkenaan boleh merosakkan keluarga serta masyarakat, jalan terbaik untuk melindungi masyarakat dan keluarga ialah dengan mengukuhkan nilai yang boleh menyelamatkan kita daripada pengaruh seperti itu,” kata Lee.
Menurut beliau, laman sesawang mencari teman seperti thesugarbook.com memperalat serta merendahkan nilai perhubungan dengan alasan “ia untuk kebaikan bersama”.
Perhubungan menjadi barang dagangan, dengan pertukaran wang ringgit serta hadiah untuk mendapat teman dan perkhidmatan “lain”.
Bagaimanapun, apa yang lebih membimbangkan ialah laman sesawang itu mensasarkan golongan muda berusia lewat belasan tahun dan awal 20an yang masih belajar di politeknik dan universiti.
Keadaan itu mendedahkan mereka kepada bahaya dieksploitasi dan dianiayai.
Urus niaga seumpama itu nampak sangat berat sebelah dan lebih memihak kepada golongan yang lebih tua dan kaya.
Golongan muda wanita, umpamanya, mungkin berasa terpaksa menuruti kemahuan atau tuntutan golongan berkenaan dan berisiko untuk dicederakan secara fisikal dan seksual sekiranya permintaan mereka ditolak. – Bernama