Friday, February 14, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bayern atasi tekanan tewaskan Celtic

    GLASGOW, 13 FEB – Harry Kane menjaringkan gol ketika Bayern Munich menundukkan Celtic 2-1 di Glasgow dalam perlawanan pusingan pertama play-off Liga Juara-juara, semalam.

    Bayern berharap untuk mara ke perlawanan akhir musim ini yang akan berlangsung di Allianz Arena mereka sendiri di Munich pada 31 Mei.

    Bayern mendominasi babak pertama dan memperoleh gol pendahuluan sejurus sebelum rehat menerusi rembatan padu Michael Olise.

    Gol kedua Bayern hadir hanya empat minit selepas separuh masa, apabila Kane yang tidak dikawal, menjaringkan gol dengan penyudah lembut di belakang tiang selepas sepakan sudut.

    Ia merupakan gol ketujuh Kane dalam Liga Juara-juara musim ini dan gol ke-29 dalam 29 perlawanan di semua pertandingan.

    Daizen Maeda (kiri) bersaing dengan Michael Olise semasa perlawanan pertama play-off Liga Juara-juara UEFA antara Celtic dan Bayern Munich di stadium Celtic Park di Glasgow, Scotland pada 12 Februari.

    Bagaimanapun, pendahulu Bundesliga itu memperlahankan permainan selepas itu, memberi peluang kepada Celtic – yang gol pertama mereka oleh Nicolas Kuehn pada minit pertama dibatalkan kerana ofsaid – untuk kembali ke dalam perlawanan.

    Pasukan kendalian Brendan Rodgers mengurangkan defisit apabila Daizen Maeda menjaringkan gol selepas sepakan sudut dengan perlawanan berbaki 11 minit, namun mereka gagal menemui gol penyamaan.

    “Memang klise untuk dikatakan, tetapi ia adalah separuh pertama perlawanan. Secara keseluruhan, ia keputusan yang sangat baik,” kata pengurus Bayern, Vincent Kompany, menurut BBC.

    Kekalahan pertama Celtic di laman sendiri sejak Disember 2023 membuatkan mereka menghadapi cabaran besar untuk membaiki keadaan di Jerman pada Selasa depan, dengan pemenang akan bertemu sama ada Bayer Leverkusen atau Atletico Madrid di pusingan 16 terakhir.

    “Ia hanya perbezaan satu gol. Ia cabaran besar, kami tahu itu, tetapi masih ada kemungkinan,” tegas Rodgers. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda