MUNICH, 21 SEPT – Penyerang Bayern Munich, Leroy Sane berkata pasukannya perlu lebih tenang dan lebih terkawal selepas kemenangan 4-3 di tempat sendiri ke atas Manchester United dalam Liga Juara-Juara, kelmarin.
Bayern mendahului 2-0 dan kemudian 3-1 dengan baki dua minit, tetapi memerlukan jaringan pada masa kecederaan daripada pemain remaja Perancis, Mathys Tel untuk memastikan kemenangan, dengan dua gol lewat Casemiro memberikan peluang kepada United sekurang-kurangnya meraih mata yang tidak dijangka.
Sane menjaringkan gol pembukaan hasil sentuhan bijak daripada Harry Kane.
Bercakap dengan DAZN, Sane berkata walaupun permainan itu baik untuk penonton, pasukannya hampir melepaskan kemenangan.
“Kami melakukannya, tetapi kami perlu melakukannya selama 90 minit,” kata Sane.

“Apabila kami mendahului 2-0, kami perlu memberitahu diri kami bahawa kami akan mengawal perlawanan.
“Ia mesti datang daripada kami. Kami perlu mengawal, dengan melihat siapa pemain yang baik untuk diberikan bola.”
Kemenangan itu adalah yang ke-20 untuk Bayern dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara tetapi Kane mengakui bahawa situasinya menjadi agak membimbangkan pada penghujung perlawanan.
Kane, yang menjaringkan gol dari sepakan penalti dan kini mempunyai lima gol dalam lima permulaan Bayern, berkata pasukannya mengawal tempo tetapi kehilangan tumpuan dalam penyudah yang gila.
“Secara keseluruhannya ia merupakan permulaan yang sangat baik untuk kempen menentang pasukan yang sukar seperti Manchester United.
“Kami telah memulakan musim dengan baik dan kami boleh memperbaiki beberapa bahagian, tetapi saya rasa kami sedang membina ke arah itu,” tambahnya.
Kane memuji United walaupun mereka mengalami kesukaran, berkata ‘mereka sedang melalui masa yang sukar, menderita, dengan kecederaan yang banyak juga’. – AFP

