BERLIN, 2 April – Hatrik menerusi Robert Lewandowksi semalam membolehkannya menyamakan jumlah jaringan penjaring terbanyak Bundesliga musim ini dan bintang Poland yang beraksi dengan Bayern Munich itu bersemangat tinggi bagi kelab dan negaranya.
Pemain penyerang yang berusia 28 tahun itu menjaringkan hatrik keempatnya bagi Bayern musim ini dalam kemenangan 6-0 semalam ke atas Augsburg dalam persembahan menarik, di mana dia juga menjadi arkitek bagi jaringan Thomas Muller dan Thiago Alcantara.
“Dia telah menjaringkan tiga gol dan mencipta dua lagi umpanan gol, apa yang boleh saya katakan mengenainya?” jelas jurulatih Bayern, Carlo Ancelotti selepas membenam Augsburg.
“Saya merasa gembira mempunyai pemain penyerang seperti itu yang menjaringkan gol hampir dalam setiap perlawanan.”
Lewandowski menjaringkan lapan gol dalam lima perlawanan bagi pasukan Poland pada 2016/17 dengan menyudahkan 36 kali bagi Bayern dalam semua persaingan.

Hatrik yang dilakukannya menentang Augsburg hadir selepas dia juga menjaringkan gol dalam kemenangan 2-1 pada Ahad lalu ke atas Montenegro untuk membolehkan Poland melebarkan enam mata dalam kumpulan kelayakan Piala Dunia mereka.
Dia sekarang mencatatkan 24 gol dalam Bundesliga bersama-sama Pierre Emerick Aubameyang dari Borussia Dortmund dalam usahanya untuk mempertahankan mahkotanya sebagai penjaring terbanyak Jerman.
Mesin penjaring gol diberi nama samaran ‘The Body’ di Bayern dan berkembang menjadi salah seorang penyerang tebaik dunia.
Susuk tubuhnya terbentuk dari diet ketat dan isterinya yang mengandung, Anna, bekas atlet karate antarabangsa bagi Poland, adalah pelatih peribadinya.
“Dia adalah pemain yang paling professional yang pernah saya temui,” jelas Pep Guardiola, mantan Ancelotti di Bayern.
“Di kepalanya, dia memikirkan mengenai makanan yang tepat, tidur dan latihan: 24 jam setiap hari.
“Dia selalu berada di sana, tidak pernah cedera, kerana dia fokus ke atas perkara-perkara ini. Dia selalu tahu apa yang penting untuk berada dalam kedudukan yang terbaik.” – AFP