BERLIN, 30 OKT – Juara bertahan Bayern Munich mara ke kelompok 16 terakhir Piala Jerman, meledak dua gol lewat permainan untuk menewaskan pasukan divisyen dua Bochum 2-1.
Bochum yang menghuni kelompok bawah divisyen dua itu mengejutkan Bayern dengan mendahului permainan ketika permainan berbaki 10 minit, dengan pelawat bergelut menembusi benteng tuan rumah.
Pemain sayap Serge Gnabry bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-83 sebelum Thomas Mueller meledak gol kemenangan pada minit terakhir permainan.
Schalke turut mengharungi perlawanan mendebarkan ketika menewaskan Arminia Bielefeld 3-2, walaupun pada satu ketika mendahului 3-0.
Bayer Leverkusen menewaskan Paderborn 1-0, dengan rembatan minit ke-25 Lucas Alario sudah cukup untuk mengesahkan kemenangan.
Pendatang baru Bundesliga, Union Berlin turut mara ke kelompok 16 terakhir selepas dua gol lewat permainan menjelmakan kemenangan 3-1 ke atas Freiburg.
Keputusan di luar jangkaan lain menyaksikan pasukan divisyen empat FC Saarbruecken menewaskan Cologne 3-2. – AFP
