Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bayern cipta sensasi bersama Kane

    BERLIN, 24 OKT – Hanya tujuh pusingan dalam musim Bundesliga, Bayern Munich yang diterajui Harry Kane telah pun semakin jauh daripada kumpulan pencabar.

    Menjelang perlawanan esok, menentang seteru tradisi Borussia Moenchengladbach, Bayern kini lima mata di hadapan pasukan di tempat kedua, RB Leipzig.

    Juara bertahan Bundesliga itu telah memenangi 12 daripada 12 perlawanan dalam semua kejohanan.

    Mereka merupakan satu-satunya pasukan dalam lima liga utama Eropah yang masih belum kehilangan sebarang mata dan tonggak permulaan cemerlang Bayern ialah kapten England, Kane.

    Pemain berusia 32 tahun itu telah menjaringkan 20 gol dalam 12 kemenangan Bayern tersebut. Dalam tujuh perlawanan Bundesliga, dia merekodkan 12 gol dan tiga bantuan gol.

    Hanya tujuh perlawanan memasuki musim Bundesliga, Bayern Munich yang diterajui Harry Kane sudah semakin jauh daripada kumpulan pencabar. – AFP
    Harry Kane berebut bola dengan Nordin Jackers semasa perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara UEFA di Munich, Jerman pada 22 Oktober. – AFP

    Namun, sumbangan Kane musim ini jauh melangkaui sekadar mencatat nama di papan jaringan.

    Sumbangan menyeluruh Kane paling jelas dilihat dalam kemenangan 2-1 di laman sendiri menentang Borussia Dortmund minggu lalu.

    Diturunkan dalam peranan nombor 10 di belakang penyerang Nicolas Jackson, Kane bermain di seluruh padang, turun membantu pertahanan dan menghantar bola jauh kepada pemain sayap pantas Bayern, Michael Olise dan Luis Diaz.

    Pada Sabtu lalu, Kane berjaya menghasilkan penyudah klasik seorang penyerang tengah untuk membuka jaringan buat Bayern, menanduk masuk sepakan sudut pada minit ke-21.

    Walaupun ada yang meramalkan dia bakal pulang ke England, Kane memberi isyarat dia berkemungkinan kekal lebih lama di Jerman, terutama selepas jurulatih Vincent Kompany melanjutkan kontraknya hingga 2029 minggu ini.

    “Perbincangan akan diadakan,” kata Kane selepas Bayern menewaskan Club Brugge 4-0 dalam saingan Liga Juara-Juara kelmarin.

    “Bukan bulan depan, tapi mungkin pada tahun baharu. Kami berada dalam kedudukan yang hebat. Saya rasa baik.

    “Kompany adalah sebahagian besar daripada kelab ini dan salah satu sebab utama mengapa saya sangat suka berada di sini. Lanjutan kontraknya adalah berita yang sangat baik,” ujarnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda