BERLIN, 30 April – Bayern Munich kini telah dimahkotakan sebagai juara Bundesliga buat kali kelima berturut-turut selepas Robert Lewandowski telah menjaringkan dua gol dalam kemenangan bergaya 6-0 ke atas Wolfsburg, yang bermain 10 orang.
Selepas pasukan di tangga kedua RB Leipzig terikat tanpa jaringan oleh Ingolstadt, Bayern menyempurnakan kejayaan mereka dengan kemenangan besar di gelanggang lawan, memberikan mereka kelebihan 10 mata di puncak dengan baki tiga perlawanan.
“Lima kali berturut-turut, ia sukar dipercayai. Kami benar-benar layak untuk menjadi juara,” kata Pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge kepada Sky. Carlo Ancelotti memberikan kejuaraan liga ke-27 Bayern pada musim pertamanya sebagai ketua jurulatih skuad terbabit.
“Saya sangat gembira, kemenangan ini adalah penting dan ia satu pengalaman yang hebat,” kata jurulatih dari Itali itu.
Ancelotti kini sudah memenangi gelaran dalam liga utama di empat negara selepas menjulang trofi Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea, Serie A (AC Milan) dan Ligue 1 (Paris Saint Germain).

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kelab yang hebat ini,” Tambah Ancelotti. “Kami berhak menjadi kejuaraan dan bermain bola sepak yang baik, kini adalah masa untuk meraikannya.”
Bayern membuka tirai jaringan menerusi satu sepakan percuma David Alaba pada minit ke-19 bagi memberikan pasukan pelawat 1-0.
Lewandowski menggandakan pendahuluan Bayern pada minit ke-36 dan kemudian jaringan keduanya sebelum separuh masa.
Di separuh masa kedua, Arjen Robben pula menggegarkan gawang pada minit ke-66 sebelum pemain Wolfsburg, Luiz Gustavo, diarahkan meninggalkan padang pada minit ke-78.
Namun Bayern tidak berhenti di situ, Thomas Mueller menambah gol kelima Bayern selepas menerima hantaran Lewandowski dan Joshua Kimmich melengkapkan malam gembira Bayern dengan gol keenam. – AFP