Bayern kukuhkan cengkaman di puncak liga

BERLIN, 12 DIS – Bayern Munich mengukuhkan kedudukan mereka di puncak Bundesliga kepada enam mata semalam, selepas pemain remaja Jamal Musiala berjaya membantu pasukan mencatat kemenangan pada minit akhir perlawanan 2-1 di laman sendiri menentang Mainz.

Jaringan pada separuh masa kedua oleh Kingsley Coman dan pemain berusia 18 tahun, Musiala mengesahkan kemenangan dalam perlawanan yang tidak dihadiri oleh penonton di Allianz Arena selepas jaringan awal diraih oleh Mainz.

Bayern menyasarkan untuk memenangi Bundesliga buat kali ke-10 berturut-turut selepas pasukan di tempat kedua, Dortmund terikat seri 1-1 di Bochum. Pengurus Bayern, Julian Nagelsmann mencatat kemenangan ke-100 di Bundesliga sebagai jurulatih dan mengesahkan pemain remaja Musiala, yang sebelum ini memilih untuk tidak mendapatkan vaksin, kini sudah menerima suntikan.

“Saya sukacita memaklumkan bahawa dia sudah menerima vaksin dan berharap kami tidak akan mempunyai sebarang masalah dalam separuh masa kedua musim ini,” tambah Nagelsmann selepas Musiala menjadi salah seorang daripada lima pemain yang di kuarantin bulan lalu setelah menjadi kontak kes.

Bayern yang membuat permulaan perlahan pada penghujung yang sibuk selepas kemenangan 3-2 pada Sabtu kepada Dortmund dan kemenangan pada Rabu 3-0 menundukkan Barcelona untuk mencatat kemenangan keenam daripada enam perlawanan di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Mainz sebelum itu berada di hadapan apabila Karim Onisiwo menanduk masuk bola menewaskan Manuel Neuer pada minit ke-22, namun Bayern berjaya menyamakan kedudukan selepas hantaran jauh Corentin Tolisso berjaya disambut Coman lalu membuat percubaan menewaskan penjaga gol, Robin Zentner. Bayern melengkapkan kemenangan 16 minit sebelum tamat perlawanan apabila Musiala berjaya melepaskan kekangan daripada pertahanan lawan lalu percubaannya melepasi Zentner. – AFP

Reaksi Jamal Musiala meraikan gol selepas membantu Bayern mencatat kemenangan semasa menentang Mainz di Allianz Arena, kelmarin. – AP