MUNICH, Jerman, 12 April – Bayern Munich yang dikendalikan Jupp Heynckes mara ke persaingan separuh akhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi biarpun Sevilla yang beraksi dengan 10 pemain mengikat mereka bagi keputusan seri tanpa jaringan dalam suku akhir kedua.
Bayern mara ke empat pasukan terakhir perlawanan itu bagi kali ketujuh dalam sembilan musim ketika mereka menang dengan agregat 2-1 berikutan kemenangan perlawanan pertama di Sepanyol minggu lalu.
“Sevilla adalah sebuah pasukan yang bagus, buat masa yang lama kami tidak dapat menguasai bahagian tengah, tetapi kami mengekang mereka daripada menjaringkan gol, ia adalah penting,” kata pemain sayap Bayern, Arjen Robben.
Usaha Sevilla bagi kemunculan pertama kali ke separuh akhir terjejas biarpun mengekang serangan Bayern dan mengehadkan tuan rumah kepada 51 peratus penguasaan.
“Saya berbangga dengan pasukan saya, mereka mempamerkan personaliti hebat dan karakter menentang pasukan yang kuat, ia bukanlah mudah,” kata bos Sevilla, Vincenzo Montella.

“Kami boleh berbangga dengan apa yang kami lakukan di sini, dan sepanjang persaingan Liga Juara-Juara.”
Pertahanan pasukan Sepanyol itu secara berterusan menafikan Lewandowski, yang gagal menambah 35 golnya musim ini, walaupun Bayern memiliki dua kali ganda percubaan ke gawang.
Sevilla menamatkan perlawanan dengan kurang seorang pemain selepas Joaquin Correa, diarah meninggalkan padang pada akhir perlawanan bagi kekasarannya ke atas Javi Martinez.
Selepas Barcelona dan Manchester City, pendahulu masing-masing di Sepanyol dan England, tersingkir kelmarin, Bayern adalah satu-satunya pasukan yang tinggal di Eropah yang masih boleh memenangi tiga kejuaraan.
Mereka melengkapkan kejuaraan keenam Bundesliga Sabtu lalu dan berada dalam separuh akhir Piala Jerman. – AFP