MUNICH, 9 APRIL – Jurulatih Bayern Munich, Vincent Kompany berkata pasukannya masih ‘percaya sepenuhnya’ dengan peluang mereka walaupun tewas 2-1 di tempat sendiri kepada Inter Milan pada perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara kelmarin.
Bayern mendominasi awal tetapi ketinggalan apabila Lautaro Martinez menjaringkan gol untuk Inter pada minit ke-38.
Pemain veteran Bayern, Thomas Mueller, yang dimasukkan oleh Kompany pada minit ke-74, berjaya menyamakan kedudukan pada lewat permainan, tetapi Inter membalas dengan menjaringkan gol sekali lagi menerusi Davide Frattesi pada minit ke-88.
“Pada separuh masa pertama kami sangat dominan. Kami mempunyai peluang yang jelas dan sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol,” kata Kompany.
“Inter mendahului, tetapi kami perlu menang di Milan. Keputusan tidak selalu adil, tetapi ia baru separuh permainan.
“Kami yakin dan adalah memalukan apabila Inter akhirnya menjaringkan gol, tetapi kami akan mempunyai peluang sekali lagi di Milan, itulah yang kami rasa. Kami percaya sepenuhnya pada peluang kami di Milan,” tambahnya.
Penyerang Bayern, Harry Kane turut bersetuju apabila berkata, “ada 90 minit (lagi) untuk bermain dan kami mempunyai pemain untuk mengubahnya.
“Inter meraikannya seperti mereka memenangi perlawanan pada penghujungnya, tetapi (masih ada) permainan.
“Kami mencipta banyak peluang dan jika kami melakukan perkara yang sama minggu depan, kami boleh mengubahnya.”
Bayern datang ke perlawanan itu dengan kehilangan beberapa pemain yang cedera termasuk Jamal Musiala, Manuel Neuer, Alphonso Davies dan Dayot Upamecano, tetapi Kompany berkata pasukannya, “tidak mencari alasan”.
“Keputusannya adalah apa yang telah berlaku, tetapi kami rasa kami boleh pergi dan menang di Milan,” tambah jurulatih dari Belgium itu.
Kekalahan itu adalah kekalahan pertama Bayern di tempat sendiri dalam 22 perlawanan Liga Juara-Juara sejak 2021. – Agensi
