Bayern Munich julang trofi kelima 2020

MUNICH, 1 OKT – Bayern Munich berjaya merangkul gelaran kelima tahun ini selepas jaringan lewat Joshua Kimmich memastikan kemenangan 3-2 Bayern ke atas Borussia Dortmund untuk menjulang Piala Super Jerman.

Tuan rumah Bayern mendahului 2-0 dengan jaringan pada separuh masa pertama oleh Corentin Tolisso dan Thomas Mueller, namun Julian Brandt menemukan gol buat Dortmund sebelum rehat dan Erling Braut Haaland berjaya menyamakan kedudukan pada awal separuh masa kedua.

Walau bagaimanapun, Kimmich melengkapkan kemenangan Bayern di perlawanan yang berlangsung tanpa peminat di Stadium Allianz Arena.

Percubaan awalnya diselamatkan oleh penjaga gawang Dortmund, Marwin Hitz tetapi pantulan bola memberikan peluang kepada Kimmich melakukan rembatan gol kemenangan lapan minit sebelum masa berakhir.

“Joshua adalah pemain terbaik dengan cara dia menjaringkan bola ke dalam gawang,” kata ketua pasukan Bayern, Manuel Neuer yang merasa kagum.

Ketua pasukan Bayern Munich, Manuel Neuer dan rakan sepasukan meraikan trofi kemenangan mereka setelah perlawanan akhir Supercup Jerman antara FC Bayern Munich dan BVB Borussia Dortmund di Munich, Jerman semalam. – AFP

Setelah mencatat rekod kemenangan 23 perlawanan tanpa kalah, mereka berakhir dengan kekalahan mengejut di Hoffenheim pada Ahad lalu, namun pada malam tersebut Bayern kembali bangkit.

“Kimmich memiliki kualiti yang luar biasa, dia dalam kondisi luar biasa,” kata ketua jurulatih Bayern, Hansi Flick yang mana pasukannya telah memenangi gelaran Bundesliga kelapan berturut-turut, Piala Jerman, Liga Juara-Juara dan Piala Super UEFA tahun ini.

Ini adalah kali keempat dalam lima tahun Bayern memenangi kejohanan ini.

Penjaga gol Dortmund, Roman Buerki dan pemain sayap England, Jadon Sancho terlepas penerbangan ke Munich kerana masalah pernafasan, kata kelab itu, tetapi kedua-duanya disahkan negatif COVID-19.

Flick membuat lima perubahan dari perlawanan lalu yang mana tewas 4-1 di Hoffenheim.

Leroy Sane diketepikan kerana kecederaan lutut, Leon Goretzka direhatkan dan Segre Gnabry bermula di bangku simpanan. – AFP