Sunday, March 16, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bayern Munich masih seri tanpa Ancelotti

    BERLIN, 2 Okt – Bayern Munich sekali lagi melepaskan dua gol pendahuluan dalam perlawanan menentang Hertha Berlin yang berkesudahan seri 2-2, dalam perlawanan mereka sejak pemecatan mengejut Carlo Ancelotti, tercicir lima mata di belakang pendahulu Bundesliga, Borussia Dortmund.

    Dengan Willy Sagnol mengendalikan pasukan secara sementara selepas pemecatan Ancelotti, Bayern mendahului 2-0 di Stadium Olimpik Berlin dengan gol-gol menerusi Mats Hummels dan Robert Lewandowski.

    Tetapi Berlin kembali bangkit dengan dua gol dalam tempoh lima minit menerusi Ondrej Duda dan Salomon Kalou untuk berkongsi satu mata.

    “Ia agak mengecewakan bagi kami,” kata Sagnol, yang mana pasukannya melonjak di kedudukan kedua.

    “Kami perlu bermain dengan lebih fokus dan disiplin. Jika kami tidak fokus, maka kami bukan pasukan yang terkuat di Jerman lagi,” akui warga Perancis itu.

    Bayern mensia-siakan kelebihan dua gol dua kali berturut-turut dalam liga selepas diikat seri 2-2 di gelanggang sendiri kepada Wolfsburg 10 hari lalu.

    Ancelotti dipecat selepas 15 bulan setelah Bayern ditewaskan 3-0 di Paris Saint-Germain dalam aksi Liga Juara-Juara. Bos Hoffenheim, Julian Nagelsmann dan bekas jurulatih Dortmund, Thomas Tuchel merupakan antara calon untuk mengambil tugas itu.

    Sagnol memberikan respons kepada pemecatan Ancelotti dengan menurunkan penyerang Thomas Mueller, Franck Ribery, Arjen Robben dan Lewandowski.

    Keempat-empat pemain itu telah mengkritik kelab dalam beberapa minggu kebelakangan ini, memainkan peranan dalam mengurangkan pengaruh Ancelotti.

    Sementara itu RB Leipzig naik ke tangga keempat, hanya satu mata di belakang Bayern, selepas kemenangan 2-1 ke atas Cologne menerusi gol Lukas Klostermann dan Yussuf Poulsen. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda