Bayern Munich mudah singkirkan RB Leipzig

LEIPZIG, JERMAN, 12 SEPT – Robert Lewandowski kini telah meledakkan gol keenam setelah hanya beraksi dalam empat perlawanan Bundesliga ketika Bayern Munich menewaskan RB Leipzig, 4-1, semalam sekali gus membawa Bayern di tangga kedua liga di bawah Wolfsburg.

Lewandowski menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa pertama sebelum pemain berusia 18 tahun, Jamal Musiala dan Leroy Sane mencetak gol selepas rehat di hadapan 34,000 peminat di Stadium Red Bull Arena Leipzig.

Pasukan tuan rumah bangkit menerusi gol menakjubkan pemain tengah, Konrad Laimer sebelum pengganti Lewandowski, Eric Maxim Choupo-Moting mematikan terus semangat Leipzig dengan gol keempat.

Ketua jurulatih Bayern, Julian Nagelsmann, yang meletak jawatan dari Leipzig selepas dua tahun menjadi jurulatih baharu kelab itu untuk mengendalikan Bayern musim ini, memuji pasukannya dengan menyifatkan kemenangan itu bekalan terbaik berdepan Barcelona pada aksi Liga Juara-Juara, Rabu ini.

“Saya sentiasa gembira di sini, hari ini juga,” kata Nagelsmann kepada Sky. “Prestasi adalah baik, tetapi kami boleh beraksi dengan lebih bagus lagi.”

Jurulatih Leipzig dari Amerika, Jesse Marsch mengatakan mereka mesti bangkit dengan pantas menjelang perlawanan Liga Juara-Juara di Manchester City. “Selalu sukar bermain melawan Bayern. Kita harus belajar cepat untuk perlawanan Man City Rabu ini,” kata Marsch. – AFP