FRANKFURT, JERMAN, 28 JUN – Bayern Munich semalam mengumumkan mereka telah memutuskan untuk tidak memperbaharui perjanjian penajaan bersama Qatar Airways, yang telah lama menjadi kontroversi kerana kebimbangan mengenai hak asasi manusia di negara Teluk itu.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pihak berkata, kontrak itu akan berakhir ‘dengan persetujuan bersama’ pada 30 Jun selepas perkongsian selama lima tahun.
“Hubungan FC Bayern yang telah terjalin dengan peminatnya di dunia Arab melalui Qatar Airways akan terus kekal,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Bayern yang baharu, Jan-Christian Dreesen berkata pasukan itu dan Qatar Airways ‘telah bekerjasama dengan jayanya dan belajar daripada satu sama lain.’
Akbar Al Baker, ketua eksekutif Qatar Airways, mengucapkan “segala yang terbaik buat Bayern untuk masa depan.”
“FC Bayern adalah kelab bola sepak yang hebat yang permainannya telah kami ikuti dengan kegembiraan dan semangat,” tambahnya.
Kelab terbesar Jerman itu telah lama menghadapi kritikan kerana hubungannya dengan Doha dan syarikat penerbangan milik kerajaan itu berhubung dakwaan isu hak asasi manusia, terutamanya sekitar Piala Dunia 2022 di Qatar.
Pada perhimpunan agung kelab pada 2021, ahli-ahli mengganggu mesyuarat dengan ejekan dan sorakan yang menuntut hubungan dengan negara Teluk itu diputuskan. – AFP
