Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bayern perlu bayar balik 245,000 euro

    BERLIN, 15 JUN – Bayern Munich telah dipaksa membayar balik lebih 200,000 euro (AS$216,560) kerana gagal memenuhi syarat gaji minimum dalam tempoh lima tahun, pihak berkuasa kastam Bavaria mengumumkan hari ini.

    Kelab itu juga mesti membayar kira-kira 45,000 euro (AS$48,700) dalam sumbangan keselamatan sosial yang belum dibayar.

    Siasatan mendapati Bayern menggaji pekerja di bawah kadar yang sepatutnya dari 2016 hingga 2021.

    Pejabat kastam Munich mengeluarkan kenyataan pada hari ini mengatakan Bayern telah menggaji pekerja, terutamanya di pusat latihan belia kelab itu, dengan kontrak jam terhad, tetapi ‘tahap pekerjaan sebenar adalah jauh lebih tinggi’.

    “Kelab itu tidak membayar gaji minimum di pusat latihan belia yang dikendalikannya,” kata pejabat itu dalam satu kenyataan.

    Gambar fail bertarikh 9 November 2022 menunjukkan para pekerja di stadium bola sepak FC Bayern Munich, Allianz Arena di Munich, Jerman. – AP

    Dalam kenyataan akhbar pada Khamis, Bayern memohon maaf atas insiden tersebut, dengan mengatakan ‘FC Bayern Munich tidak pernah berniat untuk menahan gaji yang sepatutnya kepada pekerja’.

    Bayern berkata ia telah bekerjasama sepenuhnya dengan penyiasatan itu dan telah mengambil langkah-langkah untuk memastikan insiden serupa tidak berulang.

    “Kelab telah bekerjasama dengan proses itu dan prosedur itu kini ditutup,” kata jurucakap kastam Munich, Thomas Meister kepada perkhidmatan berita Jerman SID, anak syarikat AFP.

    Dengan perolehan tahunan melebihi 650 juta euro (AS$700 juta), Bayern ialah kelab sukan terbesar di Jerman dan kelab bola sepak ketiga berpendapatan tertinggi di dunia, selepas Real Madrid dan Barcelona.

    Pasukan lelaki Bayern Munich memenangi kejuaraan Bundesliga ke-11 berturut-turut pada musim 2022-23, bersama-sama pasukan wanita mereka, yang telah memenangi dua daripada tiga kejuaraan Frauen Bundesliga yang lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda