Monday, May 12, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bayern rangkul Piala Super Jerman

    BERLIN, 31 JULAI – Sadio Mane kelmarin mencatatkan gol peribadinya untuk Bayern Munich ketika juara Bundesliga itu menewaskan Leipzig 5-3 bagi merebut Piala Super Jerman buat kali ke-10.

    Bintang Senegal, Mane yang baru-baru ini terpilih sebagai Pemain Terbaik Afrika, menjaringkan gol pada minit ke-31 perlawanan bagi gol kedua pasukannya dalam pembukaan tirai musim Jerman.

    Manakala Jamal Musiala melakukan hantaran yang sempurna untuk membuka perangkap ofsaid Leipzig dan melepaskan Serge Gnabry untuk membuat hantaran melepasi bahagian depan gawang yang disambar oleh Mane.

    Bayern ​​telah mendahului seawal 14 minit dari sepak mula hasil rembatan Musiala mengatasi penjaga gol Hungary, Leipzig, Peter Gulacsi.

    Musiala beraksi cemerlang dan menjadi nadi gol ketiga Bayern pada minit ke-45 apabila hantarannya disempurnakan oleh Benjamin Pavard.

    Sadio Mane (tengah) menjulang trofi selepas memenangi perlawanan bola sepak Piala Super Jerman di antara RB Leipzig dan FC Bayern Munich di Leipzig kelmarin. – AFP

    Sementara itu, Marcel Halstenberg menanduk masuk ke gawang Bayern bagi menjaringkan gol pertama Leipzig. Namun Bayern hanya mengambil masa lima minit untuk menambah kelebihan tiga gol mereka.

    Gnabry kemudiannya memanfaatkan rebound daripada rembatan tajam Thomas Mueller pada minit ke-65 untuk menjadikan kedudukan 4-1.

    Leipzig tidak lama kemudian meraih gol kedua hasil sepakan penalti Christopher Nkunku selepas Dani Olmo dijatuhkan di kawasan tersebut.

    Pemain antarabangsa Sepanyol, Olmo sejurus itu meledak satu lagi gol untuk Leipzig pada minit ke-89.

    Manakala Leroy Sane menamatkan perlawanan dengan gol kelima pasukannya pada minit kelapan masa kecederaan.

    Bayern Munich seterusnya akan mula mempertahankan kejuaraan Bundesliga mereka di tempat lawan, Eintracht Frankfurt pada Jumaat depan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda