Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bayern setuju dapatkan Tel

    BERLIN, 25 JULAI – Bayern Munich telah bersetuju pada dasarnya dengan perjanjian untuk menandatangani penyerang Rennes berusia 17 tahun, Mathys Tel, yang diharapkan oleh jurulatih Julian Nagelsmann untuk menjaringkan sebanyak 40 gol semusim.

    Tel, yang pernah bermain untuk pasukan bawah 18 tahun Perancis, membuat tujuh penampilan sebagai pemain gantian untuk Rennes dalam Ligue 1 pada musim lalu.

    “Saya mempunyai visi bahawa dia suatu hari nanti akan menja-ringkan sebanyak 40 gol untuk satu musim,” kata Nagelsmann semasa jelajah pramusim juara Bundesliga itu di Amerika Syarikat.

    “Tetapi jika dia menjaringkan hanya 10 gol musim ini, kami tetap akan gembira,” tambahnya.

    Kedua-dua kelab masih belum mengumumkan secara rasmi mengenai perpindahan tersebut, di mana menurut laporan media, perjanjian yang dicapai mungkin bernilai sehingga AS$29.1 juta selepas tambahan.

    “Kami sedang mencari pemain muda yang boleh kami bangunkan menjadi pemain bertaraf dunia, dan dia mungkin salah seorang daripada mereka,” tambah Nagelsmann.

    Bayern telah pun mendapatkan Sadio Mane dari Liverpool, pemain pertahanan Belanda, Matthijs de Ligt dari Juventus dan dua orang pemain Ajax, Ryan Gravenberch dan Noussair Mazraoui pada musim penutup.

    Gergasi Bavaria itu seterusnya akan berdepan dengan RB Leipzig dalam Piala Super Jerman pada hujung minggu hadapan sebelum memulakan musim baharu Bundesliga di Eintracht Frankfurt pada 5 Ogos nanti. – AFP

    Mathys Tel dilaporkan akan berpindah ke Bayern Munich dengan perjanjian bernilai sebanyak AS$29.1 juta. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda