Sunday, November 24, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bazar AL Souq promosi pelbagai produk jualan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Untuk memperkasakan jiwa keusahawanan dalam kalangan alumni dan warganya, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Hal Ehwal Alumni (HEA) telah mengendalikan bazar keusahawanan AL Souq di Gimnasium, UNISSA, Gadong, bermula hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyaksikan pembukaan program berkenaan ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal yang sekali gus beramah mesra bersama alumni dan warga yang terlibat.

    Turut hadir memberikan sokongan ialah penolong-penolong rektor, para pensyarah, pegawai dan kakitangan, mahasiswa dan mahasiswi UNISSA serta orang ramai.

    Program telah disertai 27 buah perusahaan di mana 20 daripadanya merupakan perusahaan milik alumni UNISSA. Manakala selebihnya adalah daripada warga UNISSA.

    Bazar menampilkan pelbagai produk jualan dan perkhidmatan termasuk makanan, minuman, pakaian dan banyak lagi.

    Antara perusahaan alumni UNISSA yang terlibat ialah Bayt Al-Hijama, Al-Sunnah Enterprise, Elsouq.bn Enterprise, Al-Huffaz, Shakur.bn & Elhadaya.bn, Filosofi Keju, Tauhu Begedil Melatop, Nyampatea, Kupi Tu Wa Ga, Oreo Pudding & Cake, Kyna Popsicle, Nabb’s Shop & Kitchen, Takoshake.bn dan sebagainya.

    AL Souq merupakan program dan inisiatif yang dirangka khas untuk menggalakkan para alumni dan warga UNISSA mempromosikan perniagaan mereka kepada orang ramai.

    Dengan adanya program bazar berkenaan, Pejabat HEA, UNISSA berharap ia dapat mengeratkan lagi jalinan antara universiti dengan para alumni, sekali gus mampu terus membina motivasi, minat dan keyakinan diri para alumni UNISSA dalam menceburi bidang tersebut.

    Di samping itu, program juga diharap dapat sama-sama menjentik jiwa keusahawanan dalam kalangan bakal graduan UNISSA dan sama-sama tampil berani mengetengahkan keistimewaan produk untuk mencari rezeki pendapatan sampingan atau sepenuh pada masa akan datang.

    Dr Haji Norarfan mengunjungi petak jualan yang disediakan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Antara perusahaan alumni UNISSA dan warga UNISSA yang menyertai program berkenaan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda