Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 31 Mei – Bagi membantu pengusaha-pengusaha dalam kalangan penduduk kampung, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bukit Beruang dengan kerjasama ahli-ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang, Persatuan Belia-belia Bukit Beruang dan ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Bukit Beruang telah menganjurkan Bazar Ramadan di kawasan Dewan Serba Guna RPN Bukit Beruang, Tutong.
Bazar Ramadan yang dijalankan sejak awal Ramadan itu disertai oleh beberapa pengusaha yang tinggal di sekitar RPN Bukit Beruang dengan menawarkan jualan makanan dan minuman bagi juadah berbuka puasa.
Setiausaha MPK Bukit Beruang, Haji Selamat bin Suaji menjelaskan, gerai Ramadan yang diadakan sejak 2015 ini diharap akan mendapat sambutan daripada orang kampung dan penduduk sekitarnya yang tinggal di kawasan berkenaan. Walau bagaimanapun, MPK Bukit Beruang berserta ahli-ahli yang terlibat akan berusaha mengadakan Bazar Ramadan di Taman Riadah Perpindahan Bukit Beruang pada tahun akan datang bagi memudahkan orang ramai untuk menyinggahinya kerana ia berhampiran dengan jalan masuk utama ke kawasan Perpindahan Bukit Beruang.
Haji Selamat juga menyatakan harapan, dengan Bazar Ramadan ini, ia akan dapat membantu pengusaha-pengusaha kecil yang tinggal di kampung berkenaan di samping dapat menyediakan tempat-tempat yang sesuai, selesa, bersih serta selamat kepada peniaga lain yang mana ia sesuai mengikut konsep 3K MPK iaitu Keselesaan, Kebersihan dan Keselamatan.

Sepanjang bulan Ramadan ini, MPK Bukit Beruang dengan kerjasama ahli-ahli lain seperti AJK Takmir Masjid RPN Bukit Beruang serta persatuan belia-belia kampung dan ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Bukit Beruang akan mengadakan pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Antara yang akan dijalankan nanti adalah Program Menyumbangkan Makanan Asasi kepada penduduk Kampung Bukit Beruang yang tergolong dalam warga emas, orang kurang berkemampuan dan daif yang terpilih, mengadakan Majlis Khatam Al-Quran dan seterusnya penyampaian derma kepada anak-anak yatim, majlis bertadarus, ceramah khas dan banyak lagi.
Haji Selamat berharap, penduduk Kampung Bukit Beruang khususnya mereka yang tinggal di RPN Bukit Beruang termasuk mereka yang baru sahaja berpindah perlu peka dan bergiat aktif untuk membangkitkan kemeriahan kampung bersama-sama ahli-ahli MPK.
Pada masa ini, ahli-ahli MPK Bukit Beruang yang bergiat aktif adalah lebih 80 orang dan ahli-ahli MPK yang rasmi terdiri daripada 25 orang yang mana Pengerusi MPK ialah Ketua Kampung Bukit Beruang, Awang Ahmad bin Aman.