Thursday, February 6, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bazar istimewa buka tirai

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Orang ramai digalakkan untuk berbelanja di negara sendiri dan pada masa yang sama memberi sokongan kepada peniaga-peniaga tempatan yang menawarkan pelbagai barangan yang berkualiti dengan harga yang berpatutan.

    Oleh itu, orang ramai dialu-alukan untuk berkunjung dan memberikan sokongan kepada pengusaha tempatan semasa Bazar Istimewa sempena Hari Raya Aidilfitri 2018 yang berlangsung di Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan, bermula pada 17 Mei hingga 15 Jun.

    Sebanyak 27 buah petak jualan yang disediakan di mana para peniaga adalah terdiri daripada penyewa-penyewa ruang kedai di Bangunan Letak Kereta Bertingkat, Bangunan Pusat Komersial dan Perdagangan Bumiputera, Bandar Seri Begawan.

    Hadir untuk menyempurnakan perasmian bazar tersebut hari ini ialah Pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Haji Ali bin Matyasin.

    Haji Ali menyaksikan dengan lebih dekat sambil diberikan penerangan oleh para peniaga mengenai barangan yang dijual di Bazar Istimewa sempena Hari Raya Aidilfitri 2018 yang berlangsung di Dermaga Diraja.

    Semasa bazar itu, para peniaga di jualan berkenaan bukan sahaja menawarkan pelbagai barangan yang berkualiti tetapi para pembeli juga berpeluang untuk mendapatkan harga istimewa sepanjang jualan berkenaan.

    Jualan istimewa itu dihasratkan bukan sahaja untuk mengeratkan hubungan silaturahim bagi peniaga-peniaga tetapi untuk menyajikan pelbagai pilihan bagi para pengunjung yang membeli-belah bagi meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

    Matlamat bazar itu diadakan adalah untuk memberikan peluang kepada para penyewa untuk mengetengahkan koleksi barangan Ramadan dan Hari Raya serta pelbagai barangan bagi persediaan Sambutan Hari Raya Aidilfitri seperti kuih-muih, pakaian cara Melayu dan pelbagai fesyen baju untuk orang dewasa dan kanak-kanak.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda