Oleh Daniel Lim
BELAIT, 31 DIS – Bazar Pandanku Ceria yang berlangsung selama lima hari di sekitar premis Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kampung Pandan telah melabuhkan tirainya dengan majlis penutup, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada hari terakhir bazar berkenaan ialah Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab yang dialu-alukan oleh Pengerusi Persatuan Sungai Teraban (Sutera), Haji David bin Haji Kassim.
Majlis telah didahului dengan sesi pemanasan badan sebelum diteruskan dengan acara Hari Sukan dan diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Dianjurkan oleh Persatuan Sutera dengan kerjasama perpustakaan berkenaan, acara tersebut telah menyaksikan pelbagai acara diadakan sepanjang lima hari termasuk Bengkel Kenali Warisan Kitani, demonstrasi masakan, mari bercerita dan banyak lagi boleh disertai oleh seisi keluarga bagi mengeratkan ikatan kekeluargaan sambil berseronok.
Pembantu Pengerusi Persatuan Sutera, Awang Mohammad Halimin bin Parajin ketika ditemui menjelaskan bahawa bazar berkenaan telah menerima respons dan maklum balas yang positif daripada keluarga dan penduduk kampung yang hadir.
Bazar berkenaan, ujar beliau, adalah salah satu aktiviti yang mereka jalankan untuk mengisi masa lapang cuti sekolah terutamanya dengan sekatan perjalanan disebabkan COVID-19.
Disebabkan respons positif berkenaan, beliau berkata, persatuan mereka juga merancang untuk mengadakan acara serupa pada tahun depan.
