Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bazar Thailand meriahkan lagi Festival Disember Brunei

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Bersempena dengan Festival Disember Brunei, Kedutaan Besar Diraja Thailand di Brunei Darussalam mengadakan Bazar Thailand yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini di Aras Satu Pusat Membeli-belah Onecity, Kampung Salambigar.

    Perasmian bazar berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku tetamu kehormat majlis.

    Mengalu-alukan ketibaan tetamu kehormat pada majlis perasmian bazar tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul yang turut sama-sama menyempurnakan perasmian.

    Selepas majlis perasmian, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan kemudiannya dibawa melawat ke petak-petak bazar berkenaan.

    Semasa majlis pelancaran berkenaan, cabutan bertuah juga diadakan bagi para jemputan yang hadir.

    Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Brunei Darussalam, PYT WanthaneeViputwongsakul meninjau salah sebuah petak jualan di Bazar Thailand yang berlangsung di Pusat Membeli-belah OneCity, kelmarin. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dan PYT Wanthanee Viputwongsakul ketika melancarkan Bazar Thailand di Pusat Membeli-belah One City.
    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dan PYT Wanthanee Viputwongsakul semasa meninjau salah sebuah petak jualan di bazar tersebut.

    Bazar Thailand tersebut merupakan acara tahunan yang dijayakan oleh Kedutaan Besar Diraja Thailand dalam usaha mempromosikan pelancongan tempatan dalam negara yang mana turut bertepatan diadakan semasa musim cuti persekolahan.

    PYT Wanthanee Viputwongsakul dalam ucapannya menjelaskan bahawa bazar pertama yang diadakan pada Ogos lalu bagi mempromosikan ekonomi dan kerjasama dalam industri pelancongan, telah mendapat sambutan yang menggalakkan di mana lebih 10,000 pengunjung telah hadir semasa bazar tiga hari itu.

    Puan Yang Terutama turut mengongsikan bahawa dengan kerjasama pihak pengurusan OneCity dan Tourism Authority of Thailand, bazar kali kedua berkenaan berjaya direalisasikan dengan turut memastikan penjarakan sosial dan langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan penularan COVID-19.

    Pada bazar tersebut, orang ramai boleh mendapatkan pelbagai produk makanan dan bukan makanan yang dihasilkan oleh peniaga-peniaga Thailand di negara ini.

    Beberapa pengimport produk Thailand turut menyertai bazar tersebut bagi mempromosikan produk mereka.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda