Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Sebagai acara tahunan dalam usaha mempromosikan ekonomi dan kerjasama dalam industri pelancongan, Kedutaan Diraja Thailand di Brunei Darussalam bersama Department of International Trade Promotion in Kuala Lumpur, Tourism Authority of Thailand, Kuala Lumpur Office, Office of the Defence Attache, Bandar Seri Begawan dan Office of Labour Affairs, Bandar Seri Begawan sedang menganjurkan Bazar Thailand yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini di Pusat Membeli-Belah OneCity, Kampung Salambigar.
Majlis perasmian bazar berkenaan telah disempurnakan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Boosara Kanchanalai.
Puan Yang Terutama dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa 58 vendor telah menyertai bazar tersebut yang menampilkan pelbagai produk jualan Thailand meliputi barangan makanan, pakaian, kraf tangan, perkhidmatan dan sebagainya.
PYT Boosara turut mengongsikan bahawa sepanjang berlangsungnya acara tersebut, pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk demonstrasi ukiran buah dan sayur serta pertunjukan masakan Thailand yang sudah semestinya dinanti-nantikan oleh ramai pengunjung di negara ini.
Sejurus setelah majlis perasmian, PYT Boosara Kanchanalai berpeluang bergambar ramai bersama kakitangan kedutaan Thailand di Brunei Darussalam dan mereka yang terlibat dalam menjayakan bazar tersebut sebelum dibawa melawat ke petak-petak jualan.