Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Dengan matlamat untuk memberi peluang kepada penduduk khususnya golongan belia mempamer dan menjual produk buatan sendiri, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Beribi, Kawasan 2 dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei Muara mengadakan Bazar Usahawan MPK Beribi Kawasan 2 yang berlangsung di Dewan Muhibah, Jabatan Daerah Brunei Muara bermula hari ini hingga 30 Oktober.
Hadir menyempurnakan perasmian acara berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Lumapas, Daerah Brunei dan Muara, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin.
Ketua Kampung Beribi Kawasan 2, Awang Mohammad Fazial bin Haji Zaini menjelaskan melalui penganjuran acara berkenaan, mereka bukan sahaja ingin menggalakkan semangat keusahawanan dan meningkatkan ekonomi kampung tetapi juga memperkenalkan inisiatif satu kampung satu produk (1K1P) di mana setiap kampung menonjolkan produk unik dan identiti tersendiri.
“Selain itu, bazar ini turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk serta mempromosikan budaya tempatan kepada masyarakat luar,” tambahnya.
Beliau turut berharap agar bazar itu dapat dijadikan acara tahunan yang terus menyokong pembangunan ekonomi dan masyarakat tempatan secara berterusan.
Bazar yang dibukakan bagi kunjungan orang ramai bermula pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang, menampilkan lebih 50 peserta termasuk tujuh MPK yang mengetengahkan 1K1P masing-masing.




