Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    BBBF kumpul dana untuk DemensiaBrunei

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Forum Perniagaan Brunei Britain (BBBF) yang telah mengadakan Jualan Makanan Komuniti di Kompleks Beli-belah Mabohai, kelmarin, telah berjaya mengumpul dana berjumlah $3,118 untuk disumbangkan kepada DemensiaBrunei.
    Pembiayaan berkenaan diharapkan dapat menyumbang ke arah pencapaian misi dan matlamat mereka pada masa hadapan.

    Acara yang dianjurkan untuk menyokong dan meningkatkan kesedaran mengenai DemensiaBrunei itu telah menarik kehadiran ahli-ahli BBBF, vendor, tetamu dan wakil dari Lembaga Pengarah DemensiaBrunei.

    Pengerusi BBBF, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim dalam ucapannya antara lain menyampaikan penghargaan atas sokongan dan penyertaan padu para vendor, tetamu dan ahli BBBF.

    Beliau turut menekankan kepentingan inisiatif yang didorong oleh komuniti dalam memupuk kesedaran tentang demensia di Negara Brunei Darussalam dan melahirkan keyakinan bahawa acara itu berjaya memberikan impak positif kepada masyarakat.

    Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam menjayakan acara itu sekali gus memainkan peranan penting bagi memastikan DemensiaBrunei dapat mengumpul dana daripada acara tersebut.

    Acara tersebut turut diserikan dengan ceramah mengenai demensia yang telah disampaikan oleh ahli terapi di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Dayang Bazilah binti Ali yang mana beliau antara lain mengongsikan tentang tanda-tanda awal dan pencegahan demensia.

    Pengiran Aki Ismasufian bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BBBF
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda