Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Forum Perniagaan Britain Brunei (BBBF) telah berjaya mengutip $3,168 untuk DemensiaBrunei menerusi inisiatif komuniti dan dana berkenaan telah diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan tersebut, kelmarin.
Pada majlis yang berlangsung di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) itu, Presiden DemensiaBrunei dan Perunding Geriatik Hospital RIPAS, Dr Shyh-Poh Teo telah menerima dana berkenaan bagi pihak DemensiaBrunei.
Turut hadir menyaksikan penyerahan dana berkenaan ialah Naib Presiden DemensiaBrunei, Dayang Irnawati binti Haji Mahir; Setiausaha DemensiaBrunei, Dayang Bazilah binti Ali dan ahli-ahli jawatankuasa eksekutif BBBF.
Pengerusi BBBF, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim menyatakan harapan bahawa dana berkenaan akan menyokong DemensiaBrunei dalam mencapai misi dan matlamatnya.
Ini sekali gus membuat perubahan bermakna dalam kehidupan individu dan keluarga yang terjejas oleh demensia di negara ini, selain menekankan kepentingan kerjasama berterusan dan penglibatan komuniti untuk meningkatkan kesedaran dan menyediakan sumber penting bagi mereka yang terjejas oleh demensia.
Beliau turut menekankan komitmen BBBF untuk terus menyokong inisiatif yang memberikan kesan positif kepada kesejahteraan rakyat Negara Brunei Darussalam.


