Oleh Yusrin Junaidi
TUTONG, 13 OKT – Bersatu Bikers Club (BBC) buat julung kalinya tampil memeriahkan suasana di mini pentas perayaan Daerah Tutong menerusi persembahan istimewa yang menampilkan lagu-lagu pilihan daripada ahli dan penyokong kelab berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut, Yang Dipertua Bersatu Bikers Club, Haji Mohammad Isa bin Haji Marsidi, bersama ahli jawatankuasa tertinggi, ahli serta penyokong BBC.
Di majlis itu, Yang Dipertua Bersatu Bikers Club, Haji Mohammad Isa dalam ucapan alu-aluannya antara lain menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat dan nikmat keamanan di bawah kepimpinan raja yang penuh keprihatinan serta kasih sayang terhadap rakyat.
Beliau turut mendoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, dilanjutkan usia dan kekal karar memerintah negara dengan penuh kebijaksanaan.
Seramai lebih 18 orang ahli BBC, penyokong serta ahli kumpulan Santai Karaoke turut menyumbangkan persembahan lagu pilihan masing-masing yang menambahkan lagi kemeriahan malam tersebut.
Persembahan itu turut dimeriahkan dengan penampilan kumpulan Santai Karaoke yang menambahkan suasana lebih bergema dan meriah sekali gus menjadikan penyertaan pertama Bersatu Bikers Club di pentas mini perayaan daerah ini satu kenangan yang bermakna buat semua ahli dan pengunjung yang hadir.

