LONDON, 1 JAN – BBC hari ini meraikan ulang tahun ke-100 ramalan cuaca untuk kelasi di perairan Britain, yang bukan sahaja menjadi perkhidmatan penting untuk pelayaran, malah turut memberikan inspirasi kepada pemuzik dan penyair, sekali gus menjadi salah satu elemen tetap dalam siaran radio United Kingdom (UK).
The Shipping Forecast, perkhidmatan ramalan cuaca untuk pelayaran yang terkenal di UK dan disediakan oleh Pejabat Meteorologi (Met Office), menawarkan ramalan mengenai kelajuan angin, keadaan laut, cuaca dan jarak penglihatan. Pada asalnya, perkhidmatan itu diwujudkan untuk membantu pelaut dan kapten kapal yang mungkin berdepan bahaya di laut.
Meskipun pelaut moden kini bergantung pada teknologi ramalan yang lebih canggih, penyampaian ramalan yang tenang dan berirama oleh penyampai program bersuara merdu di BBC Radio 4 telah mengubah The Shipping Forecast sebagai institusi kesayangan rakyat British.
Pengendali BBC Radio 4, Mohit Bakaya, menggambarkan The Shipping Forecast sebagai ‘acara yang dihargai’ dan ‘salah satu khazanah negara.’ Beliau memaklumkan ulang tahun ke-100 perkhidmatan itu akan diraikan dengan siri program sepanjang hari pada Rabu.
Ahli sejarah, Jerry Brotton akan menyelidiki bagaimana maritim lampau Britain telah membentuk negara itu, sementara tokoh terkenal seperti Ellen MacArthur, pelayar solo wanita yang memecahkan rekod dunia, akan membaca semula buletin yang berkaitan dengan pencapaian mereka.
Perkhidmatan itu ditubuhkan pada tahun 1867 sebagai tindak balas terhadap ribut yang melanda kawasan utara Wales lapan tahun sebelumnya, menyebabkan kematian 800 orang dan kehilangan 133 kapal, menurut Met Office. Pada mulanya, ramalan disampaikan melalui telegraf sebelum pertama kali disiarkan di radio pada 1 Januari 1924 dan diambil alih oleh BBC pada Oktober 1925. – AFP