BEIJING, 25 Feb – Mahkamah Daerah Beijing berkata hari ini, Syarikat Penyiaran British (BBC) telah memfailkan tuntutan mahkamah terhadap sebuah syarikat China kerana menggunakan nama BBC untuk mempromosikan aplikasi pembelajaran bahasa Inggeris.
Tuntutan pelanggaran hak cipta, yang diumumkan oleh mahkamah daerah Haidian, menuduh iYuba, sebuah firma pembelajaran bahasa yang beribu pejabat di Beijing, menggunakan tanda dagangan dan kandungan BBC di aplikasinya, laman web dan media sosial tanpa sebarang kebenaran.
BBC memohon sebanyak 500,000 yuan (kira-kira AS$78,950) sebagai ganti rugi dan meminta syarikat itu berhenti melanggar hak cipta mereka yang didaftarkan di China.
BBC mendakwa bahawa mereka telah menghantar surat meminta iYuba untuk menghapuskan nama jenamanya dari kandungan dan mesej, dan syarikat China berkenan masih belum memberikan sebarang respons.
Menurut notis mahkamah, BBC telah mendaftarkan hampir 400 tanda dagang di China sejak tahun 1980-an, 60 daripadanya mengandungi ‘BBC’. – Bernama