BBYB 2021 akan ketengahkan perjuangan bendung COVID-19

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Memandangkan 2020 akan dikenang sebagai tahun yang mencabar bagi semua orang dengan kesan pandemik COVID-19 yang dirasakan di seluruh dunia, Borneo Bulletin Yearbook (BBYB) 2021 akan menampilkan tema ‘Looking Ahead – Nation United’ dengan mengetengahkan negara bersatu untuk membendung penyebaran virus.

Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd, Hazizah Osman mengongsikan perkara berkenaan dalam ucapan alu-aluannya pada Sesi Jaringan BBYB di Ruang Legar The Arts Centre, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan merasmikan acara berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Info-komunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof dan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin industri daripada komuniti perniagaan dan kakitangan utama dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC), orang awam serta sektor swasta.

Hazizah dalam ucapannya menyatakan, dengan edaran lebih 50,000, BBYB telah menjadi panduan perniagaan yang dicari di Negara Brunei Darussalam, dengan laman sesawang BBYB mencatatkan 2.2 juta paparan halaman dan enam juta klik.

“Kejayaan buku tahunan ini selama 27 tahun kebelakangan dikaitkan dengan permintaan untuk panduan komprehensif mengenai Brunei.

Ir Haji Mohammad Nazri bersama Albert Lau dan Hazizah Osman pada Sesi Jaringan BBYB, kelmarin.
Antara jemputan yang hadir pada sesi jaringan yang berlangsung di Ruang Legar The Arts Centre JIS.
Buku-buku BBYB yang turut dipamerkan semasa acara berkenaan.

“Tatkala kami berkembang lebih jauh untuk memenuhi pasaran yang cepat berubah, kami berharap sokongan berterusan anda,” ujar beliau.

Turut hadir pada sesi jaringan berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QAF Brunei, Albert Lau.

Acara kemudian mendengarkan ucapan yang disampaikan oleh tetamu kehormat bagi pihak Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Sesi Jaringan BBYB tahun ini memulakan dialog pertamanya bersama Ir Haji Mohammad Nazri dengan tema Moving Forward as a Smart Nation selain menampilkan pameran daripada Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), DST, imagine, Kolej Perdagangan Laksamana dan Progresif untuk memberikan lebih banyak peluang bagi perkongsian maklumat antara para peserta.

Sesi Jaringan BBYB bertujuan untuk memberi platform kepada pemimpin-pemimpin industri, pegawai kerajaan serta pengusaha baharu dan berpengalaman untuk bertemu, berhubung dan bertukar pendapat.

BBYB diterima pada 1993 dan telah menjadi penerbitan tahunan Brunei Press Sdn Bhd. Ia merupakan panduan komprehensif Negara Brunei Darussalam yang menyediakan maklumat perniagaan yang dikemas kini dengan tumpuan khusus pada pelaburan langsung asing (FDI), peluang pelaburan dan usaha pengembangan dan kepelbagaian negara sejajar dengan Wawasan Brunei 2035 di samping itu, ia juga mengetengahkan pentadbiran, fakta dan perangkaan kerajaan Brunei.

Penerbitan BBYB diedarkan secara percuma setiap tahun melalui penebusan di Borneo Bulletin dan Media Permata.

Ia juga tersedia di semua bilik hotel di negara ini, kedutaan-kedutaan Brunei di seluruh dunia dan suruhanjaya-suruhanjaya tinggi yang berpusat di negara ini. Manakala itu, format digital BBYB boleh didapati di borneobulletinyearbook.com.bn.