Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Sebagai sebahagian daripada usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang berterusan, Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah menyumbangkan beberapa peralatan teknologi maklumat kepada Politeknik Brunei dan Sekolah Rendah Sungai Tali, Lumut, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BDCB, di sini, menyatakan sumbangan berkenaan merangkumi peralatan teknologi maklumat yang terdiri daripada komputer pelayan, peranti rangkaian dan komputer desktop yang telah dikitar semula serta masih berfungsi.
Sehubungan itu, majlis penyerahan pertama telah berlangsung di Politeknik Brunei, Kampus Ong Sum Ping dengan BDCB diwakili oleh Penolong Pengarah Urusan (Pembangunan Korporat), Hajah Sufinah binti Haji Sahat, pada 13 Oktober lalu.
Manakala itu, majlis penyerahan kedua diadakan di Sekolah Rendah Sungai Tali, dengan BCBD diwakili oleh Pengarah Eksekutif Kewangan Syariah, Haji Muhd Shukri bin Haji Ahmad selaku Pengerusi Tanggungjawab Sosial Korporat BDCB pada 10 November lalu.
Sumbangan berkenaan menyerlahkan komitmen BDCB terhadap usaha kelestarian melalui penggunaan semula aset IT secara bertanggungjawab bagi memanjangkan jangka hayatnya serta mengurangkan sisa elektronik, sekali gus menyokong ekonomi kitar semula dan matlamat kemampanan negara.
Inisiatif itu juga seiring dengan Wawasan Brunei 2035, dengan memupuk kesiapsiagaan digital, pembangunan keupayaan dan kemahiran bagi membentuk sebuah masyarakat yang berpengetahuan, berinovasi dan mampan.
Melalui usaha-usaha sedemikian, BDCB secara aktif mempromosikan pembangunan komuniti, menggalakkan kemajuan pendidikan serta menyokong amalan industri yang lestari, demi memperkasa generasi akan datang dan menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi Negara Brunei Darussalam.



