Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Cabaran Pelaburan Baiduri Capital (BCIC) 2021 secara rasmi membuka tirainya dengan taklimat yang diadakan oleh Baiduri Capital bagi para peserta yang berlangsung di Ibu Pejabat Bank Baiduri, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, BCIC adalah inisiatif tahunan yang diadakan oleh Baiduri Capital sebagai sebahagian daripada usahanya untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran mengenai pelaburan, perkhidmatan pasaran modal dan perdagangan sekuriti serta menyokong matlamat Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) untuk meningkatkan literasi pelaburan dalam kalangan masyarakat.
Dalam cabaran berkenaan, jelas kenyataan, setiap pasukan diberi $5,000 sebagai modal awal untuk melabur ke dalam sekuriti yang tersenarai di Bursa Saham Singapura, Bursa Saham Malaysia, Bursa Saham Hong Kong, China A-Shares atau Bursa Saham AS yang mana sebarang keuntungan yang diperoleh pasukan dalam cabaran tersebut akan disimpan oleh mereka.
Apa yang membezakan cabaran kali ini daripada li-terasi sebelumnya ialah pada tahun ini, 40 orang peserta terdiri daripada alumni institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa yang mana gabungan peserta tersebut merupakan julung kalinya sejak empat tahun BCIC dijalankan.
Peserta terdiri daripada alumni dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Politeknik Brunei (PB), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) serta alumni dari University of Bath dan University of Birmingham. Ini menjadikan BCIC lebih mudah diakses, di samping untuk mendorong lebih banyak penglibatan gabungan peserta dengan pelbagai tahap pengalaman pelaburan.
Dalam sesi taklimat tersebut, para peserta diberi penerangan mengenai format cabaran dan diperkenalkan kepada mentor masing-masing dari Baiduri Capital sebelum memulakan perjalanan pelaburan mereka.
Sepanjang enam bulan perjalanan pelaburan, para peserta akan diajar mengenai kepentingan dalam mempelajari bagaimana untuk melabur yang bertujuan untuk mengubah pemikiran bahawa pelaburan itu rumit, memakan masa dan tidak dapat diakses.
Dalam pada itu, setiap kumpulan yang terlibat mendapat akses langsung kepada pengedar yang berlesen sebagai mentor bagi membimbing mereka dalam perdagangan dan pelaburan.
Pengurus Besar Baiduri Capital, Peng Eng Soon dipetik berkata, BCIC bertujuan untuk memupuk kesedaran dan meningkatkan minat masyarakat terhadap pelaburan kewangan dan pasaran modal.
“Sangat menggembirakan untuk melihat bahawa kita mempunyai lulusan institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa, yang sudah memiliki pengalaman peribadi dalam bidang pelaburan. Saya harap kumpulan tahun ini akan memperoleh wawasan dan pengalaman baharu dalam dunia pelaburan melalui perjalanan mereka dengan BCIC,” jelasnya lagi.
