Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    BCL kenang Ashraf dalam konsert penuh emosi

    Walaupun sudah lima tahun pemergian suami tercinta, Allahyarham Ashraf Sinclair, penyanyi terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) tidak sesekali pernah melupakannya.

    Bagi Bunga, 41, pemergian Ashraf yang meninggal dunia secara mengejut pada 17 Februari 2020 detik paling getir dalam hidup bersama anaknya, Noah, 15, ketika itu.

    Justeru, tidak hairanlah, pada konsert Eternal Love, Timeless Romance yang berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini, menyaksikan BCL sekali lagi mengimbau kenangan bersama Ashraf sekali gus membuai emosi dan menyentuh hati penonton.

    Konsert berdurasi hampir dua jam itu membawa penonton menelusuri perjalanan hidup BCL yang penuh warna, daripada kisah cinta dan kehilangan, sehinggalah kepada keberanian membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

    Menurut BCL, lagu Wanita Terbahagia juga didedikasikan khas buat Ashraf.

    Kehadiran Ashraf dan Noah menjadikan BCL wanita paling bahagia. – Harian Metro

    “Lagu Wanita Terbahagia ini saya hadiahkan kepada arwah suami. Kehadiran Ashraf dan Noah menjadikan saya wanita paling bahagia.

    “Hidup tidak seperti yang kita rancang. Saat kehilangan Ashraf, ia begitu mengejutkan. Semua perancangan kami terhenti ketika saya masih belum mampu melepaskan seorang partner in crime,” katanya dengan nada sebak.

    Pada masa sama, kata BCL lagi, lagu 12 Tahun Terindah yang dihasilkannya pada 2020 adalah inspirasi dari pemergian Ashraf selepas 12 tahun mereka mendirikan rumah tangga.

    “Ketika melalui fasa kehilangan, saya menulis setiap hari sebagai cara untuk mengubati kesedihan.

    “Pesan saya, hargailah masa bersama insan tersayang kerana kita tidak tahu bila mereka akan pergi,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda