Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    BDAC, SMC meterai MoU

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Pusat Timbangtara Brunei Darussalam (BDAC) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Singapore Mediation Centre (SMC) di Island Ballroom, Shangri-La, Singapura.

    MoU tersebut ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Pengarah BDAC, Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni dan Pengerusi Bersama Lembaga Pengarah SMC, Andre Maniam.

    MoU tersebut bertujuan untuk mewujudkan rangka kerja bagi kerjasama dan perkongsian maklumat antara BDAC dan SMC, dengan fokus pada mempromosi dan membangunkan penggunaan Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR), khususnya perantaraan, melalui prosedur yang adil dan efisien yang memberikan keyakinan dan kestabilan kepada komuniti ADR antarabangsa serta meningkatkan aksesibiliti, kecekapan dan keberkesanan proses perantaraan komersial.

    Menurut kenyataan BDAC, di sini, skop kerjasama itu merangkumi pertukaran lawatan antara kedua-dua institusi, mengambil bahagian dalam menganjurkan persidangan, seminar, kuliah, dan sesi latihan mengenai ADR, khususnya perantaraan serta menganjurkan peluang bagi pembangunan profesional yang berterusan untuk pengantara dari kedua-dua institusi.

    Dalam langkah signifikan ke arah meningkatkan kerjasama global dalam penyelesaian pertikaian, BDAC juga menghadiri Minggu Konvensyen Singapura 2024 (SC Week) anjuran Kementerian Undang-undang Singapura, dengan kerjasama United Nations Commission on International Trade Law.

    Acara yang berlangsung selama empat hari bermula 26 Ogos itu telah menghimpunkan pakar, pengamal undang-undang dan penggubal dasar terkemuka.

    Wakil BDAC juga turut serta dalam simposium penting bertajuk The Role of the Courts in Arbitration: An Asia Pacific Perspective pada 28 Ogos yang bertujuan untuk meneroka peranan mahkamah dalam menyokong dan memperkukuhkan infrastruktur timbang tara untuk meningkatkan akses keadilan di Brunei Darussalam.

    Dalam usaha berterusan untuk mengukuhkan perkongsian antarabangsa dan meningkatkan keupayaan timbang tara, BDAC berpeluang mengadakan mesyuarat dua hala bersama Singapore International Arbitration Centre (SIAC), Singapore Chamber of Maritime Arbitration (SCMA), Singapore International Dispute Resolution Academy (SIDRA) dan Maxwell Chambers yang diketuai oleh Radin Safiee.

    Mesyuarat-mesyuarat tersebut bertujuan untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara berkepentingan bersama, pertukaran buah fikiran serta kepakaran yang mana akan mengukuhkan kredibiliti BDAC dan memacu ke arah infrastruktur kaedah ADR yang lebih kukuh di Brunei Darussalam.

    Majlis penandatanganan MoU oleh Radin Safiee dan Andre Maniam. – GAMBAR SERAHAN BDAC
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda