Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan BDAC
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Pusat Timbang Tara Brunei Darussalam (BDAC) julung kalinya menganjurkan ceramah khas timbang tara bertajuk Controlling Costs in International Arbitration di pejabatnya di Jalan Kumbang Pasang, kelmarin.
Ceramah khas tersebut disampaikan oleh Profesor Luke Nottage dari Sydney Law School dan merupakan profesor kunjungan dari Universiti Brunei Darussalam.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi BDAC, Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni telah menekankan keperluan untuk bersedia bagi menangani sebarang pertelingkahan yang
mana Brunei telah menerima peningkatan pelaburan asing dari luar negara sejak kebelakangan ini.
Seperti lazimnya, penyelesaian pertikaian bagi perdagangan antarabangsa adalah melalui litigasi atau timbang tara. Perdagangan antarabangsa setentunya akan melibatkan pihak yang merentas bidang kuasa dan dijangka terdapatnya pertikaian antara pihak-pihak rentas sempadan.
Radin Safiee seterusnya berkata bahawa timbang tara telah menjadi aliran popular untuk menyelesaikan pertikaian dalam perdagangan antarabangsa terutamanya antara pelabur asing dan negara tuan rumah.
Beliau seterusnya menyatakan bahawa timbang tara antarabangsa memainkan peranan penting dalam perdagangan antarabangsa kerana ia membolehkan kontrak dikuatkuasakan secara berkesan, memudahkan akses keadilan untuk pelabur-pelabur asing dan seterusnya mengukuhkan kedaulatan undang-undang.
Ceramah khas tersebut kemudiannya menerokai perkembangan-perkembangan timbang tara secara luas, jenis-jenis kos yang ditanggung dalam timbang tara (terutamanya yuran guaman).
Profesor Luke juga membincangkan tentang peraturan-peraturan dan klausa timbang tara yang telah diguna pakai serta inovasi lain (termasuk pengantaraan sebelum dan semasa timbang tara) bagi memastikan kecekapan kos terjaga yang berkenaan dengan timbang tara antarabangsa.
Ceramah tersebut dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri, Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib; Peguam Cara Negara, Pejabat Peguam Negara, Hajah Zuraini binti Haji Sharbawi, pendaftar-pendaftar mahkamah, pegawai-pegawai dari sektor kerajaan dan swasta.
Acara hibrid itu turut dihadiri oleh peserta-peserta dari luar negara seperti Singapura, Indonesia dan Malaysia.
Ceramah khas itu dianjurkan sebagai sebahagian daripada inisiatif BDAC untuk menjadi pusat pilihan bagi penyelesaian pertikaian sama ada komersial atau bukan komersial.